JORGE Martin tekad memburu gelaran dunia MotoGP selepas muncul juara perlumbaan Sprint di Valencia.
VALENCIA, Sepanyol – Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin membawa momentum terbaik dalam misi memburu gelaran dunia MotoGP 2023 selepas melakar kemenangan pada perlumbaan Sprint di Grand Prix (GP) Valencia sebentar tadi.
Walaupun memulakan saingan di petak keenam, namun pelumba Sepanyol itu berpegang teguh dengan misinya untuk memenangi perlumbaan Sprint dan ia membuahkan hasil apabila dia berjaya memastikan 12 mata menjadi miliknya.
JORGE Martin meraikan kemenangan selepas muncul juara perlumbaan Sprint di GP Valencia.
Kemenangan tersebut sekali gus menghidupkan peluang Martin untuk memburu gelaran dunia MotoGP selepas dia kini hanya ketinggalan 14 mata dibelakang Francesco Bagnaia selepas seteru utamanya dari Ducati itu sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Kini perebutan gelaran dunia MotoGP semakin mendebarkan apabila Martin dan Bagnaia akan mengheret pertarungan terakhir MotoGP tersebut malam esok.
“Saya mengambil risiko dengan menggunakan tayar jenis lembut pada bahagian belakang. Saya bekerja keras untuk muncul juara pada hari ini.
“Ini menunjukkan bahawa esok saya boleh menang jika menggunakan tayar yang betul,” kata Martin.
Pada perlumbaan tersebut, tempat kedua menjadi milik pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Brad Binder dan Marc Marquez (Honda) tempat ketiga.
Martin yang telah memenangi perlumbaan pecut buat kali kesembilan musim ini berpeluang untuk muncul juara jika dia menang esok dan perlu mengharapkan Bagnaia terajuh atau sekadar menamatkan saingan dikedudukan kelima atau keenam kebawah.-KOSMO! Online. https://www.kosmo.com.my/2023/11 ... epas-menang-sprint/