|
Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Seramai 992 mangsa banjir daripada 276 keluarga di tiga negeri iaitu Selangor, Kelantan dan Terengganu dipindahkan di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat malam tadi.
Statistik di portal Info Bencana menunjukkan, Kelantan merekodkan jumlah mangsa teramai yang dipindahkan iaitu 718 orang daripada 204 keluarga di Pasir Mas dan Bachok manakala 191 mangsa dari 43 keluarga masih ditempatkan di PPS di Kuala Terengganu, Besut, Dungun serta Setiu di Terengganu dan 83 mangsa (29 keluarga) di Kuala Selangor, Selangor.
Sementara itu, Laporan Bencana dikeluarkan Pusat Kawalan Operasi Pusat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) setakat malam tadi pula menunjukkan jumlah mangsa terjejas ekoran kejadian tanah runtuh di Pahang masih sama iaitu 101 mangsa membabitkan 21 keluarga, sementara dua PPS dibuka.
Di Sarawak, jumlah mangsa yang terjejas dengan kejadian sama juga masih kekal iaitu 15 mangsa dari empat keluarga, dengan satu PPS juga dibuka.
Sementara itu di Kedah, berlaku insiden kebakaran yang turut menjejaskan 20 mangsa daripada enam keluarga, dengan satu PPS dibuka iaitu di Dewan Orang Ramai Taman Seri Impian, Kuala Muda.
Semalam, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataan memberi amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga hari ini membabitkan beberapa negeri termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Di Perak, ia membabitkan daerah Kerian, Larut Matang Dan Selama dan Manjung, sementara daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan serta Terengganu pula membabitkan daerah Besut dan Setiu.
https://www.bharian.com.my/berit ... lantan-dan-selangor |
|