|
RAMLI. FOTO BERNAMA
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan tambahan 33 laporan kes penipuan pakej umrah oleh sebuah syarikat pelancongan, sejak 29 November lalu hingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, secara keseluruhan, 432 laporan polis diterima berhubung kes sama membabitkan kerugian hampir RM15 juta.
"Terdapat 33 laporan polis baharu diterima daripada Rabu lalu, sehingga kelmarin dengan jumlah kerugian RM941,959.10.
"Tambahan dua lagi kertas siasatan dibuka di Negeri Sembilan dan Kedah menjadikan keseluruhan 25 kertas siasatan seluruh negara," katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan, siasatan mendapati syarikat yang ditubuhkan suami isteri yang bertindak sebagai pengarah pada 2015, mengalami masalah kewangan susulan penularan Covid-19.
Ramli dilaporkan berkata, syarikat pengendali umrah itu dikesan menggunakan wang jemaah kumpulan kedua dan ketiga bagi menampung kos jemaah umrah kumpulan pertama.
"Seperti dimaklumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) tahun ini, kerajaan Arab Saudi menaikkan kos penginapan, pengangkutan, makan, minum dan ditambah dengan kejatuhan mata wang menjadikan harga pakej yang ditawarkan tidak relevan.
"Bagi menampung kekurangan kos berkenaan, syarikat menggunakan wang daripada kumpulan jemaah lain untuk menghantar kumpulan jemaah terdahulu," katanya.
Berikutan itu, 399 laporan polis diterima membabitkan 1,614 jemaah dengan kerugian berjumlah RM14.2 juta, sejak Januari tahun ini sehingga 27 November lalu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... an-hampir-rm15-juta |
|