|
GAMBAR hiasan
Teluk Intan: Polis berjaya menumpaskan geng samun bersenjata parang yang didalangi seorang wanita berusia 30 tahun.
Semua sembilan suspek terbabit dalam kejadian samun barang kemas dan kereta milik seorang lelaki warga emas di Taman Indah Jaya, di sini, itu turut dianggotai pasangan suami isteri serta adik-beradik.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata semua tujuh suspek lelaki serta dua suspek wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar Teluk Intan, Selangor dan Kuala Lumpur antara 29 November hingga 3 Disember lalu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati, kejadian samun berkenaan didalangi seorang wanita bujang berusia 30 tahun yang ditahan di Jalan Changkat Jong, di sini, mengakui menjadi penyalur maklumat mengenai mangsa lelaki warga emas yang tinggal berseorangan.
"Hasil soal siasat terhadap wanita terbabit membawa kepada penahanan lapan lagi individu dengan semua mereka didapati positif dadah jenis methaphitamine dan mempunyai satu hingga 16 rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
"Turut dijumpai, semua barang kes iaitu dua parang, kereta Perodua Axia, dua rantai emas berserta loket, cincin, subang, emas dileburkan dan resit pajak gadai.
"Nilai kerugian mangsa adalah sebanyak RM60,000," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, hari ini.
Ahmad Adnan berkata, semua suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan melarikan kenderaan.
Dalam kejadian jam 3 petang, 22 November lalu, seorang lelaki warga emas berusia 74 yang juga bekas pengawal keselamatan cedera di bahagian jari telunjuk tangan kanan akibat ditetak dan menerima lima jahitan di Hospital Teluk Intan.
Mangsa yang tinggal berseorangan selepas kematian isteri terpedaya dengan suspek yang menyamar sebagai tukang rumah sebelum membuat pintu pagar.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... g-samun-guna-parang |
|