EMPANGAN Babagon turut menarik burung migrasi.
Fakta menarik mengenai burung migrasi adalah keupayaan spesies unggas itu terbang ribuan batu demi kelangsungan hidup selain cuaca sejuk.
Meskipun terbang dalam kelompok besar dan terdiri daripada beberapa spesies burung terbang serentak, tidak pula kedengaran insiden perlanggaran sesama haiwan itu.
Ini didorong faktor setiap burung mempunyai keupayaan tersendiri ketika terbang. Sesetengah spesies terbang pada altitud rendah dalam julat penglihatan manusia, manakala yang lain terbang pada altitud tinggi.
Sebagai contoh, burung murai atau spesies berkicau biasanya terbang pada ketinggian 152 meter hingga 610 meter, manakala burung yang lebih besar seperti angsa atau burung pelikan boleh mencapai ketinggian antara 8,839 hingga 11,278 meter.
Melihat kemampuan burung yang luar biasa, tidak hairan ia menarik perhatian peminat burung menjejak spesies migrasi terbabit.
Malah, baru-baru ini seramai 35 peminat burung yang menyertai Bengkel Burung Helang Sabah: Kemahiran Pengenalan dan Pengamatan di Empangan Babagon, Donggongon, Sabah turut meninjau spesies migrasi di lokasi terbabit.
Aktiviti anjuran Persatuan Pemerhati Burung Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tourism Malaysia dan Jetama Sdn Bhd itu menampilkan Pengerusi Kumpulan Unggas, Persatuan Pencinta Alam Singapura, Tan Gim Cheong sebagai pakar helang berkongsi pengetahuan mengenai unggas terbabit.
Kata Cheong yang juga seorang daripada pakar corak migrasi burung helang di seluruh dunia, pendedahan diberikan kepada komuniti burung tempatan menerusi aktiviti bengkel dan aktiviti memerhati burung penting dalam meningkatkan pengetahuan lebih mendalam mengenai tingkah laku burung helang, terutama jenis migrasi ketika musim sejuk utara.
"Ada sekurang-kurangnya lima spesies helang di sekitar Empangan Babagon yang memainkan peranan penting dalam mengimbangi ekosistem setempat.
"Empangan Babagon menjadi kawasan penting bagi spesies helang di sini dan tidak mustahil menjadi tempat persinggahan bagi helang migrasi dari luar negara.
"Saya berharap Persatuan Pemerhati Burung Sabah dapat bekerjasama dengan Jetama Sdn Bhd membuat pemerhatian migrasi burung helang dari luar negara secara berkala,'' katanya.
Mengenai spesies helang yang ditemui antaranya Crested Serpen Eagle atau burung lang kuik dan Crested Go Hawk yang turut dikenali burung lang sikap yang menghuni di kawasan takungan air terbabit.
|