View: 4638|Reply: 0
|
[Wilayah Persekutuan]
Kanak-kanak perempuan, bayi lelaki rayu sumbangan RM50,000
[Copy link]
|
|
Hasrul Azmeer bersama isterinya Nur Zamyliana melihat anaknya Saeef Zafran yang mengalami masalah jantung (large patent ductus arteriosus) di Sunway Medical Centre. FOTO ASWADI ALIAS
Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan dan bayi lelaki memerlukan bantuan untuk mengumpul dana bagi menjalani rawatan penyakit masing-masing dan meneruskan kehidupan bersama keluarga tersayang.
Ooi Man Lee, 5, yang juga pesakit atrofi otot spina (SMA) Type 3 dan Saeef Zafran Hasrul Azmeer berusia 55 hari yang dilahirkan sindrom down dengan 'congenital hyperthyroidism' dan masalah jantung atau 'large patent ductus arteriosus' masing-masing memerlukan dana RM50,000.
Ibu kepada Man Lee, Jo Lyn Janakun A/P Ban Thun Janakun, 36, berkata, anaknya mengalami masalah gangguan otot dan motor dialami implikasi daripada penyakit itu dan memerlukan ubat Spinraza bagi mengurangkan kemerosotan ototnya.
Menurutnya, anak bongsu daripada dua beradik itu tidak boleh berjalan dengan sempurna dan mengakui emosi Man Lee juga kerap terganggu kerana mengimpikan untuk bermain dan berlari seperti abang dan rakannya.
"Anak didiagnosis penyakit itu ketika berusia 13 bulan dan dia ada tanya kenapa keadaannya begitu serta tidak boleh berlari. Saya hanya boleh pujuk dengan cakap yang ototnya tidak kuat dan tidak mengapa asalkan boleh berjalan perlahan-lahan.
"Sebagai ibu, saya dan suami Ooi Kean Soon, 40, sangat berharap Man Lee mendapatkan rawatan untuk menjalani kehidupan dengan baik seperti orang lain. Ketika ini dia berjalan seperti bergoyang dan mudah terjatuh jika ditolak," katanya.
Katanya, dia yang juga suri rumah, manakala suami bekerja sebagai juruteknik tidak mampu menanggung kos perubatan anak mereka yang perlu dirawat segera sebelum keadaannya semakin serius.
"Anak memang sukar berjalan ketika ini dan jika keadaannya semakin serius, ia boleh menyebabkan tulang belakangnya membengkok. Justeru kami berharap orang ramai sudi membantu kami," katanya.
Sementara itu, bapa Saeef Zafran, Hasrul Azmeer Hamzah, 32, berkata, sehingga kini anak tunggalnya, Saeef Zafran masih berada di hospital dan belum pulang ke rumah kerana memerlukan bantuan mesin oksigen.
Katanya, keadaan anak kesayangan hasil perkongsian hidup bersama isteri, Nur Zamyliana Zolkifli, 27, diketahui selepas dilahirkan dan memerlukan pembedahan segera kerana jika tidak akan memberi kesan kepada jantung dan paru-parunya.
"Kami menerima keadaan anak dengan reda dan menghadapi ujian dengan kuat. Kami juga berharap dia dapat menjalani pembedahan segera kerana jantung semakin membengkak.
"Sehingga kini anak masih belum dapat pulang ke rumah dan dia juga tidak dapat menyusu secara terus daripada isteri. Ketika ini anak ditempatkan di unit rawatan intensif neonatal (NICU) dan nanti dia akan dipindahkan ke unit rawatan rapi kanak-kanak (PICU)," katanya.
Katanya, justeru dia berharap orang ramai sudi membantu mereka kerana mengakui pendapatannya sebagai penghantar makanan, manakala isteri bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat swasta tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan anak kesayangan mereka.
"Saya berterima kasih dan bersyukur jika ada pihak yang sudi membantu anak kami," katanya.
Orang ramai ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dan sumbangan kepada tabung berkenaan layak mendapat pelepasan cukai.
Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.
Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 14010008842718 atau Maybank bernombor 514105323170 dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... u-sumbangan-rm50000 |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|