Kota Bharu: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,366 orang setakat 8 pagi ini susulan tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Kesemua mangsa daripada 374 keluarga itu berlindung di 21 PPS di empat daerah iaitu di Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas dan Machang.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan, mangsa banjir paling ramai adalah Kuala Krai sejumlah 581 orang daripada 217 keluarga berada di lapan PPS.
Jajahan Tanah Merah pula, seramai 418 orang mangsa daripada 122 keluarga berada di lapan PPS, diikuti Pasir Mas dengan jumlah 346 orang daripada 90 keluarga ditempatkan di empat PPS dan 21 mangsa daripada lima keluarga di satu PPS di Machang.
Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan, Sungai Semerak di Bachok melepasi paras amaran dengan bacaan 8.44 meter (m) berbanding paras normal 6m.
Empat sungai lagi melepasi paras waspada iaitu Sungai Nal di Kuala Krai (23.6m), Sungai Kusial di Tanah Merah (12.58m), Empangan Bukit Kwong (17.29m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.09m).