|
LEBIH 100 pekerja warga asing ditahan dalam serbuan di kilang kitar semula barang elektronik di Shah Alam. FOTO Raja Noraina Raja Rahim.
Shah Alam: Bukan saja dipaksa bekerja hampir 10 jam setiap hari, pekerja warga asing sebuah kilang kitar semula barangan elektronik di Jalan Kebun, di sini turut dibiarkan tidur dalam bilik 'sauna' yang beratap dan berdindingkan zink serta di dalam khemah.
Ia dikesan hasil operasi bersepadu pintas (pemerdagangan orang) Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Tenaga Kerja serta Jabatan Alam Sekitar, semalam.
Dalam serbuan 5 petang itu, seorang remaja warga Myanmar disyaki dieksploitasi sebagai buruh paksa berjaya diselamatkan.
Difahamkan, remaja terbabit bersama pekerja warga asing lain diupah untuk meleraikan barangan elektronik bagi dikitar semula dan bekerja selama enam hari seminggu.
Mangsa yang diselamatkan berkata, dia baru beberapa bulan bekerja di kilang berkenaan.
"Saya kerja dari jam 9 pagi hingga 6.30 petang dengan dibayar gaji RM2,000 sebulan dan tinggal di dalam bilik yang disediakan bersama pekerja lain.
"Saya boleh makan selepas waktu bekerja tapi beli dari luar kerana tak dibenarkan memasak," katanya kepada Harian Metro.
BILIK beratap dan berdindingkan zink yang menjadi kediaman pekerja asing. FOTO Raja Noraina Raja Rahim.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, remaja lelaki terbabit berjaya diselamatkan pasukan dan seramai 101 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Serbuan mendapati premis itu adalah sebuah kilang kitar semula memproses barangan elektronik terpakai yang beroperasi secara haram sejak lebih setahun lalu.
"Siasatan awal mendapati kilang berkenaan dijalankan oleh warga China dengan menyewa tanah daripada pemilik tempatan berusia 60 tahun.
"Pemilik lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 14 Akta Atipsom dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Selain itu, beliau berkata, seramai 100 warga asing termasuk empat wanita berusia antara 18 hingga 39 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen iaitu tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan tiada permit kerja.
Katanya, mereka terdiri daripada 61 warga Bangladesh; China (19); Myanmar (10); Kemboja (8); Nepal (2).
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 39B dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Jabatan Tenaga Kerja turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 manakala Jabatan Alam Sekitar membuka siasatan mengikut Seksyen 34(A) dan Seksyen 34(B) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... l-dalam-bilik-sauna |
|