|
SHAHRIL (kanan) menjaringkan gol tunggal buat Malaysia ketika tewas 1-4 kepada Great Britain pada Kelayakan Olimpik di Oman awal pagi semalam. – FIH
PERJUANGAN skuad hoki kebangsaan belum berakhir apabila masih berpeluang untuk melayakkan diri ke separuh akhir pada saingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung di Muscat, Oman.
Bagaimanapun, Speedy Tigers perlu memberikan segala-galanya bagi memastikan kemenangan dengan perbezaan dua jaringan ke atas Pakistan awal pagi esok selain mengharapkan Great Britain menang sekurang-kurangnya 3-0 ke atas China.
Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, A. Arul Selvaraj tetap menaruh sepenuh kepercayaan terhadap skuad kendaliannya meskipun tewas 1-4 kepada Great Britain pada aksi kedua Kumpulan A awal pagi semalam.
“Walaupun tewas 1-4, tetapi kita dapat lakukan jaringan dan ia sangat penting untuk dibawa bertemu Pakistan. Jika dilihat pada kedudukan, kita -4 dari segi perbezaan jaringan, manakala Pakistan -3 dan China -1.
“China pula akan bertemu Great Britain nanti, jadi jaringan akan menentukan kedudukan China. Jadi, kita perlu pastikan kemenangan ke atas Pakistan nanti untuk kita layak ke separuh akhir,” katanya.
Beliau juga mahu pemain-pemain menggunakan waktu rehat sehari untuk proses pemulihan selain perlu melakukan post-mortem terhadap aksi bertemu Great Britain menerusi analisis video.
Mengulas mengenai kekalahan awal pagi semalam, Arul percaya pemain-pemain negara sudah menampilkan aksi terbaik, terutamanya pada suku masa pertama dan kedua apabila dapat mengekang serangan lawan selain menjaringkan satu gol.
“Kita bermain dengan taktikal dan disiplin yang tinggi supaya dapat catat kemenangan atau sekurang-kurangnya seri. Pada suku masa pertama dan kedua, kita berjaya dapat satu jaringan untuk ikat kedudukan 1-1.
“Bagaimanapun, memasuki suku masa ketiga, Great Britain mula menunjukkan mengapa mereka berada dalam kelompok tiga terbaik dunia. Perbezaan nampak ketara dari segi skil asas dan hantaran jauh,” jelasnya.
Pada perlawanan itu, Great Britain menjaringkan gol menerusi dua jaringan Sam Ward serta masing-masing satu daripada Will Calnan dan Zachary Wallace, manakala gol Malaysia dijaringkan Shahril Saabah.
Pertemuan menentang Pakistan awal pagi esok boleh dianggap sebagai aksi hidup mati Malaysia untuk meneruskan misi memburu tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijadualkan berlangsung Julai depan.
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... nang-speedy-tigers/ |
|