GAMBAR hiasan. FOTO Bernama.
Johor Bahru: Indonesia bercadang memperkenalkan laluan feri Roll On Roll Off (RORO) bagi mengangkut trak perdagangan antara Batam dan Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, dekat sini.
Konsul Jenderal Republik Indonesia Johor Bahru, Sigit Suryantoro Widiyanto berkata, cadangan itu sudah dikemukakan kepada kerajaan Johor.
"Feri RORO itu boleh mengangkut trak-trak perdagangan Indonesia dan Malaysia bagi menghantar pelbagai barangan import eksport terutama Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dua wilayah berkenaan yang sebelum ini hanya dihantar menaiki feri barangan dalam jumlah terhad.
"Di Batam, Terminal Feri Batu Ampar sudah mempunyai fasiliti diperlukan cuma perlu tambah baik terutama membabitkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ). Kami difahamkan di Terminal Feri Tanjung Belungkor juga memerlukan sedikit penambahbaikan sebelum inisiatif ini dapat dilaksanakan.
"Indonesia berharap inisiatif ini dapat dilaksanakan tahun ini bagi meningkatkan import eksport dua wilayah ini yang dilihat sangat berpotensi untuk dikembangkan sebagai hab barangan PKS serantau," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pertemuan ramah mesra antara Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) dan media Johor, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sigit berkata, laluan feri mengangkut kenderaan persendirian juga boleh dilaksanakan antara Batam dan Tanjung Belungkor, Kota Tinggi, selepas ini.
Namun katanya, inisiatif laluan feri RORO menjadi keutamaan dua wilayah berkenaan dalam memastikan ekonomi dua wilayah berkenaan berkembang pesat.
Beliau berkata, Wilayah Khas Batam di Kepulauan Riau dan Johor turut boleh diperkenalkan antara dua wilayah berpotensi berikutan menerima ramai kunjungan pelancong.
"Oleh itu, kami mencadangkan supaya diadakan zon wilayah istimewa Batam-Johor di mana rakyat kedua wilayah mendapat keistimewaan dari segi diskaun perkhidmatan dan perbelanjaan jika menunjukkan kad pengenalan kedua-dua wilayah berkenaan," katanya.
|