|
Matahari dilihat jelas dalam keadaan sfera akibat cuaca berjerebu. - Foto BH
KUALA LUMPUR: Beberapa kementerian akan bermesyuarat 22 Februari ini bagi membincangkan persediaan berdepan fenomena El Nino.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata mesyuarat itu membabitkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Belia dan Sukan.
"Sebagaimana kita tahu, El Nino ini lebih kering dan panas. Tahun lepas rekod terpanas dalam sejarah dunia. Kita akan mengadakan mesyuarat yang biasa kita adakan mengenai cuaca panas dan kering.
"Ini membabitkan beberapa kementerian dan agensi sebab akan ada impak yang besar terhadap pelbagai aktiviti dan kita mahu memastikan persediaan terbaik," katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengumumkan fenomena El Nino dengan intensiti kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangka berterusan hingga pertengahan tahun.
Menurut METMalaysia, fenomena itu yang bermula sejak pertengahan tahun lalu dan boleh berterusan sehingga 18 bulan.
Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, perbincangan secara berterusan turut diadakan bagi mengatasi isu kebakaran tanah gambut dan jerebu di negara ini.
Beliau berkata, ini termasuklah usaha berhubung dengan pihak berwajib di negara jiran, khususnya Indonesia dalam mencapai strategi terbaik ke arah penyelesaian masalah berkenaan.
"Perbincangan ini menyentuh sama ada kebakaran dan jerebu itu berlaku di dalam negara dan luar negara kerana kita tahu seperti tahun lepas, cuaca kering adalah soal (memberi kesan) jerebu.
"Kita ada hasrat untuk berhubung dengan pihak peringkat kerja di negara jiran. Namun kini di peringkat kementerian, mereka (Indonesia) sedang melalui proses perubahan.
"Ini kerana di Indonesia sedang ada pemilihan Presiden yang sedang berlangsung sebelum terbentuknya Kabinet baharu.
"Memang ada perbincangan awal sebelum ini untuk kita lihat strategi terbaik untuk mengatasi jerebu rentas sempadan," katanya.
Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Nik Nazmi supaya menyelaras dengan rakan sejawatnya dalam ASEAN, termasuk Indonesia untuk menangani masalah jerebu rentas sempadan.
Susulan itu, Malaysia melaksanakan tindakan susulan dengan menghantar surat kepada Indonesia berhubung masalah jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa negeri, tahun lalu.
Indonesia sering dikaitkan dengan pembakaran hutan dan tanah secara terbuka hingga menyebabkan jerebu rentas sempadan.
https://www.bharian.com.my/berit ... -langkah-persediaan |
|