|
Kuala Lumpur: Pernikahan di luar negara tanpa didaftarkan di pejabat agama Islam bakal mengundang masalah kepada pasangan dan anak yang dilahirkan.
Pendakwa Syarie Kanan di Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japenswp) Ali Najmi Mohd Noordin berkata, pengesahan pernikahan itu diperlukan bagi memastikan ia cukup rukun atau tidak.
"Mahkamah syariah ada kuasa untuk mengesahkan sebarang pernikahan yang dijalankan di Thailand atau luar negara.
"Disebabkan itu, pasangan berkenaan perlu sahkan nikah itu dahulu sebelum didaftarkan dalam negara. Jika tidak cukup rukun nikah, perkahwinan itu boleh jadi persetubuhan syubhah atau zina.
"Kedua, jika mereka ada anak, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak akan menerima pendaftaran anak untuk sijil nikah Thailand ibu bapa mereka.
"Ketiga, jika satu pihak meninggal dunia, wujud isu pusaka untuk suami atau isteri yang masih hidup mewarisi faraid.
"Terakhir, andai kata mereka bercerai sebelum sempat pernikahan itu didaftarkan, agak sukar untuk si isteri menuntut nafkah, hak lain dan sebagainya," katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Ali Najmi berkata, mana-mana pihak yang bernikah di negara jiran dengan keizinan atau tanpa izin wali dan tanpa mengikut tatacara seperti mana yang ditetapkan, ia adalah satu kesalahan termaktub dalam Seksyen 40(2) iaitu akad nikah tanpa tanpa kebenaran.
"Permohonan nikah mestilah dalam kariah perempuan, keizinan wali dan mengikut prosedur seperti yang ditetapkan dan termaktub dalam akta atau enankmen undang-undang keluarga Islam.
"Apabila mereka balik ke tanah air untuk didaftarkan, pejabat agama Islam akan rekodkan ia satu akad nikah tanpa kebenaran dan akan usulkan kes ini untuk difailkan kes pengesahan nikah di mahkamah untuk dibicara sama ada sah atau tidak nikah di Thailand.
"Seterusnya, pendakwaan akan dilakukan untuk kesalahan itu. Jika sabit kesalahan, setiap seorang akan didenda tidak melebihi RM1,000 atau tidak melebihi penjara enam bulan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... pejabat-agama-islam |
|