|
KERETA mewah jenis Porsche Panamera yang dirampas kerana diseludup masuk ke Malaysia tanpa cukai. FOTO Amir Mamat
Ayer Keroh: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka memburu pemilik sebuah kereta mewah jenis Porsche Panamera yang disyaki menyeludup masuk kenderaan itu ke negara ini.
Pengarahnya, Nadzri Che Ani berkata, kereta mewah yang dianggarkan berharga lebih RM100,000 itu dibawa masuk ke Malaysia dari negara jiran tanpa membayar cukai berjumlah RM186,000.
Beliau berkata, menerusi operasi khas pada 18 Januari lalu, anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka mematahkan penyeludupan 'kereta kayangan' terbabit di sebuah kediaman di Jasin, di sini.
Katanya, bertindak hasil risikan, pasukan itu berjaya mengesan kereta terbabit yang disembunyikan di kediaman terbabit.
"Kereta tanpa nombor pendaftaran itu ditutup sepenuhnya dengan sehelai kain dipercayai bagi mengelak ia dikesan pihak berkuasa.
"Kereta itu kemudiannya disita dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pemilik kediaman dan kenderaan terbabit," katanya pada sidang media di Wisma Kastam Melaka, di sini, hari ini.
Susulan rampasan itu, beliau berkata, kereta berkenaan diklasifikasikan sebagai dagangan larangan di bawah Butiran 3, Jadual Kedua/Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Rampasan kereta mewah itu antara kejayaan JKDM Melaka dalam menumpaskan kegiatan penyeludupan barang termasuk minuman keras dan rokok sejak awal tahun ini yang keseluruhannya bernilai RM5.84 juta.
Nadzri berkata, ia membabitkan rampasan 5,932.32 liter minuman keras pelbagai jenama dalam dua operasi berasingan di Semabok dan Klang, Selangor membabitkan nilai cukai RM295,141.48.
Katanya, turut dirampas 6,829,228 batang rokok membabitkan nilai cukai RM5,257,817.62 menerusi tiga operasi berasingan di Bertam Ulu, Alor Gajah; Kluang serta Ulu Tiram, Johor.
Pada operasi itu, pihaknya turut menahan tiga individu membabitkan dua lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 50 tahun.
Ketiga-tiganya kemudiannya dibebaskan dengan jaminan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... kain-takut-dirampas |
|