|
Beberapa serpihan pesawat ringan model BK 160 Gabriel berjaya dikeluarkan oleh anggota Biro Siasatan Kemalangan Trafik Udara (BSKU) susulan kejadian pesawat berkenaan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Kuala Lumpur: Pesawat ringan tidak memerlukan pemasangan alat perakam termasuk kotak hitam berdasarkan ketetapan piawaian antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat ringan juga tidak perlu mempunyai kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) serta Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).
"Pesawat ringan tidak perlu (kotak hitam)... memang 'international standard' (piawaian antarabangsa), pesawat ringan tidak perlu.
"Kalau kapal (terbang) besar, sistem complicated (rumit) dan kebiasaannya bila berlakunya nahas akan berlaku kerosakan yang dahsyat," katanya kepada BH, di sini.
Ketika ditanya bagaimana punca nahas dikenal pasti sekiranya tiada alat komunikasi, Norazman berkata, ia boleh dilakukan melalui proses forensik kemalangan udara.
"Ini kerana pesawat ringan sangat kurang menyebabkan kemalangan dahsyat (catastrophic) dan selalunya (pesawat) 'intact' (tidak begitu terjejas) untuk buat siasatan," katanya.
Menurutnya, bagi kes kemalangan di Kapar itu, tempoh setahun adalah jangka masa biasa bagi mengenal pasti punca nahas.
Katanya, tempoh masa itu disebabkan memerlukan laporan sangat komprehensif, namun ia masih bergantung kepada kerumitan kes.
Terdahulu, seorang pegawai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT) dilaporkan berkata, pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar, semalam dikatakan tidak mempunyai kotak hitam.
Pegawai itu berkata, pesawat berkenaan juga dikatakan tidak dilengkapi dengan kotak CVR, FDR dan GPS.
Semalam, sebuah pesawat ringan terhempas mengorbankan juruterbang dan pembantunya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... am-kotak-hitam-caam |
|