|
KUALA LUMPUR 16 FEBRUARI 2024. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap ketika sidang media Jabatan Siasatan Jabatan Komersil Bukit Aman di Menara KPJ. STR/ AZIAH AZMEE
Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima tiga laporan daripada mangsa yang terperdaya dengan pakej umrah yang ditawarkan mudir sebuah madrasah selepas dijanjikan menunaikan umrah menggunakan visa umrah namun ke sana melalui visa pelancong.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, laporan setakat ini membabitkan mudir madrasah terbabit iaitu dua berkaitan pakej umrah dan satu lagi tawaran perniagaan kambing di Makkah.
Menurutnya, dua laporan polis dibuat di Selayang membabitkan wanita berusia 33 dan 34 tahun yang tidak berpuas hati mengikut umrah DIY bersama-sama dengan lebih kurang 150 individu lain di mana bayaran RM8,500 dikenakan pada pada 22 hingga 31 Januari 2023 sedangkan di awal perjanjian kos dianggarkan antara RM7,000 hingga RM8,000.
"Pengadu juga mendakwa program umrah yang diikuti tidak mengikut tentatif sebuah program seperti yang diwawarkan oleh penganjur.
"Hasil semakan, laporan ini dirujuk ke Tribunal Pengguna," katanya kepada Harian Metro.
Ramli berkata, satu lagi laporan daripada lelaki berusia 57 tahun yang dibuat di Sungai Petani, Kedah pada 17 Februari lalu.
"Mangsa menyatakan pada 13 Januari 2023 berkenalan dengan ustaz terbabit yang menawarkan perniagaan kambing di Makkah.
"Pada 19 Mei 2023, ustaz terbabit meminta untuk meminjam RM125,000, tetapi dia hanya bersetuju memberi pinjaman RM50,000 dan dijanjikan bayaran balik seminggu selepas raya haji," katanya.
Beliau berkata, bagaimanapun ustaz terbabit hanya membuat bayaran RM5,000 secara berkala dan pinjaman belum dibayar masih berbaki RM15,000.
"Kita masih belum mengklasifikasikan siasatan yang akan dibuat setakat ini," katanya.
Pada masa sama beliau juga menasihatkan orang ramai yang ingin menunaikan umrah menggunakan saluran yang betul dan menyemak latar belakang penganjur bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
"Jangan mudah terpedaya kerana scammer ini akan sentiasa mencari jalan bagi menipu demi keuntungan mereka," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -umrah-buat-laporan |
|