|
ANGGOTA APM mengeluarkan ular yang ditangkap untuk diletakkan ke dalam sangkar. FOTO Azrul Edham
Seremban: Tugas menangkap ular bukanlah mudah dan berdepan kejadian mistik ketika operasi antara pengalaman tidak dapat dilupakan bagi tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Mendengar ular sawa batik mengeluarkan bunyi seperti pontianak mengilai dan mengejar lembaga berupa ular tedung antara pengalaman yang membuatkan bulu roma meremang.
Menceritakan pengalamannya, Syarima Umira Mohamed Khanafi, 24, berkata, dia mengalami peristiwa itu ketika menangkap ular sawa sepanjang kira-kira tiga meter di sebuah rumah lama di Labu, dekat sini pada 2020.
"Kami mendapat aduan itu kira-kira jam 4 pagi sebelum tiba di rumah pengadu dan mendapati ular itu sedang berlingkar di alang rumah.
"Sebaik kami menangkapnya dan mahu masukkan ke dalam guni, ular itu tiba-tiba berbunyi seperti menangis dan bunyinya seperti pontianak mengilai. Dengan waktu gelap awal pagi, ia memang menyeramkan," katanya ketika ditemui.
Anak bongsu dari lapan beradik itu berkata, selepas pulang dari operasi berkenaan dan cuba mencari maklumat mengenai ular menangis di internet dan mendapati ia memang wujud.
Dia yang menyertai APM sejak enam tahun lalu berkata, meskipun sudah mengikuti beribu operasi menangkap ular, perasan takut tetap ada, namun perlu bertenang hadapi situasi.
Muhammad Syahir Ruddin Adlie Abdul Malik, 25 berkata, antara pengalaman yang sukar dilupakan ketika terbabit dalam operasi menangkap ular adalah ketika tugasan pada tengah malam di sebuah rumah di Gadong Jaya, di sini, pada empat tahun lalu.
"Pengadu mendakwa terdapat tiga tedung selar dan kami membahagikan tugas menangkap ketiga-tiganya. Saya kejar salah seekor daripadanya dan memang nampak seperti ular.
"Rupa-rupanya apa yang saya nampak itu bukannya ular kerana orang lain yang ada di situ kata ia bukan ular. Pada waktu itu kami balik hanya membawa seekor ular manakala dua lagi dipercayai lembaga lain yang menyerupai reptilia itu," katanya.
Bagi Abdul Qayyum Azmi, 24 pula, dia pernah digigit lapan ular ketika operasi menangkap haiwan liar itu, namun bernasib baik kerana ia tidak berbisa.
"Sememangnya ibu bapa risau dengan tugasan saya, tetapi saya selalu minta mereka mendoakan supaya semuanya dipermudahkan.
"Sebagai anggota APM, kami perlu bersedia berdepan apa saja tugasan diberi dan yang penting aspek keselamatan perlu diberi keutamaan," katanya.
Sementara itu, Pengarah APM Negeri Sembilan, Mohd Nazri Mes Kam berkata, pihaknya menjangkakan kes menangkap ular akan terus meningkat berikutan keadaan cuaca panas.
"Bila musim panas ini selalunya ular ini akan mencari tempat sejuk atau redup untuk bersembunyi, jadi kita mesti berhati-hati.
"Dalam tempoh dua bulan ini saja, sebanyak 526 kes tangkapan ular diterima dengan Seremban merekodkan kes tertinggi iaitu 432 kes," katanya.
Dalam pada itu beliau menasihatkan mangsa patukan ular supaya bertenang dan mengenal pasti spesis reptilia tersebut kerana ia akan membantu doktor atau paramedik memberi rawatan yang lebih pantas serta bersesuaian.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... engilai-dan-jelmaan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|