|
Razali (kanan) melayan kanak-kanak bermain bunga api pada program Pelita Raya Terengganu di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu semalam.
KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu bercadang untuk menjemput penyertaan komuniti Islam di negara-negara jiran untuk memeriahkan program Pelita Raya Terengganu mulai tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, penyertaan dari Singapura, Thailand dan Indonesia itu bukan sahaja bakal memeriahkan lagi program tahunan tersebut, malah menjadikannya sebagai aktiviti pelancongan bertaraf antarabangsa.
“Program Pelita Raya Terengganu yang mula dianjurkan sejak tahun 2019 berpotensi diangkat sebagai salah satu acara dalam kalendar pelancongan negara.
“Penyertaan komuniti Melayu Islam dari nusantara yang sudah pasti turut memiliki tradisi menghias pelita raya pada malam tujuh likur pasti memberi nilai tambah terhadap program ini di peringkat antarangsa,” katanya di Taman Tamadun Islam di sini malam tadi.
Terdahulu beliau merasmikan majlis penutup program Pelita Raya Terengganu yang berlangsung selama lima hari.
Razali berkata, penganjuran program Pelita Raya Terengganu edisi kali ini dianggap paling berjaya kerana telah menarik kehadiran 150,000 pengunjung sepanjang ia berlansung sejak 19 Mac lalu.
Beliau berkata, ia bukan sahaja kehadiran tertinggi sejak lima tahun penganjurannya, malah menjangkaui sasaran asal tahun ini iaitu 40,000 pengunjung. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/03 ... ta-raya-terengganu/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|