|
Muhammad Danial (depan, kiri) bersama pekerja menunjukkan bekalan kelapa tua yang dijual sepanjang Ramadan di Jalan Kemunting, Pasir Puteh.- Foto NSTP/Nor Amalina Alias
PASIR PUTEH: Permintaan kelapa tua untuk membuat santan meningkat enam kali ganda di bulan Ramadan.
Usahawan kelapa, Muhammad Danial Ariff Mohd Zapri, 28, berkata, pada bulan biasa pihaknya membekalkan 10 tan kelapa untuk stok seminggu atau dua minggu.
Namun, pada bulan puasa, pihaknya perlu membekalkan sehingga 60 tan kelapa bagi tempoh yang sama.
"Kebanyakan pelanggan kami adalah penjual santan yang mana ketika bulan Ramadan, santan banyak digunakan dalam pembuatan kuih-muih dan masakan bergulai.
Pihak kami juga menyediakan 100 tan bekalan kelapa tua bagi tempoh empat hari untuk memenuhi keperluan pasaran," katanya ketika di stor simpanan kelapa miliknya di Jalan Kemunting, di sini, hari ini.
Danial Ariff berkata, selain kelapa tempatan, dia turut mendapatkan bekalan kelapa tua dari Indonesia bagi memenuhi permintaan pasaran.
Katanya, setiap bekalan kelapa sudah ditempah pelanggan dari seluruh Kelantan serta dari Besut dan Jerteh, Terengganu selain turut dihantar ke Kedah dan Kuala Lumpur.
"Untuk bekalan musim puasa, paling sikit pelanggan akan tempah 500 biji dan ke atas, berbanding bulan biasa sekitar 300 biji seorang," katanya.
Katanya, ketika ini harga kelapa tua dijual RM1.80 sebiji dengan tiga gred iaitu gred A berat 900 gram ke 1.3 kilogram, gred B dengan berat kelapa 500 ke 800 gram manakala gred C berat bawah 500 gram.
"Setiap gred, berbeza harga sekitar 20 sen sebiji," katanya.
Bagi peniaga santan, Nor Ziham Sulaiman, 54 dia memerlukan sekurang-kurangnya 150 hingga 200 biji kelapa sehari bagi bulan Ramadan.
Katanya, permintaan santan di bulan puasa sangat tinggi dengan kebanyakan pembelian dibuat individu bagi tujuan menyediakan juadah berbuka puasa.
"Kira-kira 13 kilogram santan terjual setiap hari," katanya yang berniaga santan sejak lapan tahun lalu.
https://www.bharian.com.my/berit ... da-di-bulan-ramadan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|