|
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini
Kuantan: Kematian warga Kemboja yang ditemukan terdampar dengan kesan kecederaan di tebing Sungai Mati, Tanjung Putus di sini, semalam disahkan akibat lemas.
Mayat Sary Tolos, 26, seorang mekanik di Indera Mahkota di sini, ditemukan pada 12 tengah hari, kira-kira 300 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang jam 8 malam, Sabtu lalu.
Sebelum ini Sary dikatakan meninggal dunia selepas diserang buaya ketika mangsa masuk ke dalam sungai bersama rakannya selepas pukat mereka tersangkut.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini mendapati mangsa lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mangsa ditemukan mati lemas dengan kesan kecederaan berhampiran tangannya dipercayai berpunca daripada haiwan liar.
"Pakar patologi dijadual memeriksa mayat di HTAA lewat hari ini untuk menentukan punca sebenar kesan kecederaan itu.
"Siasatan awal mendapati mangsa mati akibat lemas dan bukan akibat serangan haiwan liar," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sambutan Hari Polis ke-217 peringkat daerah Kuantan di Indera Mahkota di sini hari ini.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat Sary ditemui dalam keadaan terdampar di tebing sungai ketika air surut semalam, tidak jauh dari tempat mangsa dilaporkan hilang.
Sementara itu, Wan Mohd Zahari berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara mengesahkan sungai itu menjadi habitat buaya.
"Rakan Sary yang berada berhampiran sungai mendakwa ternampak seekor buaya di lokasi itu tetapi setakat ini siasatan mendapati mangsa tidak diserang reptilia itu sehingga menyebabkan kematiannya," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bukan-dibaham-buaya |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|