|
MAZNAH dan suaminya Mohd Najib Hussin, memegang gambar anak mereka, Nor Diana yang dipercayai hilang sejak empat minggu lalu. FOTO Arkib NSTP
Tumpat: Selepas empat minggu menghilangkan diri, penuntut Institut Latihan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Nor Diana Mohd Najib, akhirnya dijumpai dengan selamat.
Wanita berusia 21 tahun itu dikesan tinggal di Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor bersama seorang wanita yang dikatakan kakak angkatnya sebelum dijemput polis dan ahli keluarga jam 3.50 pagi.
Ibunya, Maznah Ismail, 44, berkata, mereka mengesan kedudukan Nor Diana menerusi laporan polis yang dibuat anaknya itu empat hari lalu yang menafikan dirinya hilang dan alamat yang tertera dijadikan panduan.
"Dengan bantuan polis, kami menjemput kakak (Nor Diana) di sebuah rumah di taman perumahan itu dan bersama seorang wanita yang dikatakan kakak angkatnya sedangkan wanita itu sebelum ini memberitahu anak saya sudah melarikan diri daripadanya kerana kisah kehilangannya tular.
"Kami membawa Nor Diana pulang ke rumah anak saudara di sini (Johor) terlebih dahulu sebelum bertolak pulang ke Kelantan petang nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Media minggu lalu memaparkan kisah Nor Diana yang sepatutnya pulang ke rumahnya di Perumahan KTMB Tumpat, di sini, pada 29 Februari lalu ketika cuti pertengahan semester namun tidak berbuat demikian malah sehingga kini remaja itu gagal dikesan keluarga.
Maznah berkata, penuntut tahun pertama Diploma Kejururawatan ILKKM Alor Setar, Kedah itu kelihatan murung dan menjadi pendiam malah sangat berlainan dengan sifat asalnya yang ceria.
Dia berkata, sejak dijemput awal pagi hari ini sehingga sekarang, Nor Diana tetap mendiamkan diri dan hanya menjawab sepatah sahaja jika ditanya.
"Dia memberitahu keluarga tak memahaminya malah ingin berhenti belajar dan bekerja menyebabkan kami berasa pelik kerana selama ini tidak pernah mengadu sebarang masalah malah kerjaya sebagai jururawat juga menjadi pilihannya sendiri tanpa ada paksaan," katanya.
Maznah berkata, sebaik tiba di rumahnya nanti di Perumahan KTMB Tumpat, mereka sekeluarga akan merujuk ustaz atau ahli perubatan Islam sebagai ikhtiar bagi memulihkan Nor Diana.
Menurutnya, walau dalam hati mereka berasa sangat lega kerana Nor Diana sudah ditemui tapi dalam masa yang sama tetap risau akan perubahan tingkah laku anak kedua daripada empat beradik itu.
"Mungkin memakan masa untuk kakak kembali kepada sifat asal, kami reda asalkan dia sudah selamat dalam pangkuan kami, terima kasih atas kerjasama semua.
"Hampir sebulan kami sekeluarga tidak lena tidur mengenangkan nasibnya yang entah bagaimana, Alhamdulillah, penemuan kakak ini kami anggap hadiah menjelang Syawal," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ui-selamat-di-johor |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|