RANTAU PANJANG - Pendapatan seorang pengemis di negeri ini boleh mencecah sehingga lima angka sepanjang Ramadan susulan peningkatan amalan bersedekah oleh umat Islam di bulan mulia ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Said Sidup berkata, hasil operasi dijalankan pihaknya sebelum ini mendapati seorang pengemis mampu memperoleh pendapatan lebih RM300 sehari.
"Malah sudah menjadi trend setiap kali Ramadan, bilangan pengemis juga meningkat sama ada penduduk tempatan mahupun warga asing terutama dari Thailand.
"Mereka ini biasanya mengemis kerana mengambil kesempatan atas bulan Ramadan selain beberapa alasan lain lagi seperti tiada pendapatan, wang tidak cukup, kes mental dan sebagainya," katanya semasa sidang akhbar pada Isnin.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Banjir Sempena Program Kembali Ke Sekolah 2024 dengan kerjasama Yayasan Sime Darby di Sekolah Kebangsaan (SK) Rahmat di sini.
Hadir sama, Ketua Projek Yayasan Sime Darby, Muhammad Hafizzudin Mohd Arif.
Menurut Said, hasil operasi yang dijalankan mendapati ada dalam kalangan warga tempatan sihat tubuh badan tetapi berlakon sakit dan sebagainya demi menagih simpati orang ramai.
Ujarnya, amalan bersedekah sepanjang Ramadan adalah bagus tetapi dengan memberi kepada pengemis seperti menggalakkan lagi perbuatan tersebut.
Beliau berkata, orang ramai boleh berbuat demikian dengan menyumbang kepada masjid, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.