|
Allahyarham Wan Nur Adlina Alisa Wan Zainal Adileen.
KUALA LUMPUR: Waris Wan Nur Adlina Alisa Wan Zainal Adileen, seorang daripada dua pelajar Malaysia yang disahkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand semalam sudah berangkat ke sana bagi tujuan pengurusan jenazah.
Keluarga terdekatnya, Nurul Ain Zulkifli ketika dihubungi BH hari ini memaklumkan, pemergian ibu bapa Allahyarhamah Wan Nur Adlina Alisa yang juga penuntut di University of Canterbury turut diiringi adik beradiknya yang lain.
"Bapa mangsa, Wan Zainal Adilee, isteri, kakak dan adik Wan Nur Adlina Alisa sudah ke sana. Setakat ini kami masih menunggu perkhabaran daripada mereka.
"Jika ada perkembangan terkini, kami akan kongsikan," katanya kepada BH hari ini.
Semalam, media tempatan New Zealand melaporkan insiden kemalangan membabitkan dua kenderaan dan sebuah motosikal berlaku di State Highway 8 berhampiran Tasik Pukaki.
Dalam kejadian itu, selain Wan Nur Adlina Alisa, seorang lagi pelajar daripada universiti sama turut maut iaitu Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni.
Salam takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Saudara Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Allahyarhamah Saudari Wan Nur Adlina Alisa Wan Zainal Adileen, pelajar Malaysia di University of Canterbury, New Zealand pic.twitter.com/IMqV0xHSjf
— Kementerian Pendidikan Tinggi (@MOHEOfficial) March 31, 2024
Tiga pelajar yang cedera pula adalah dua lagi penuntut University of Canterbury, Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, selain seorang lagi pelajar lelaki daripada Victoria University Wellington, Muhamad Faris Mohd Fairusham.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada keluarga Wan Nur Adlina Alisa sudah membuat keputusan sama ada akan membawa pulang jenazahnya ke tanah air atau menguruskan pengebumiannya di New Zealand, Nurul Ain berkata, perkara itu belum dimaklumkan kepada keluarga terdekat.
"Allahyarhamah adalah sepupu belah suami saya. Dia memang seorang yang sangat baik, semoga syurga buatnya.
"Saya juga mohon sedekahkan al-Fatihah kepada Allahyarhamah dan doakan keluarga yang ditinggalkan tabah dengan pemergiannya ke dunia abadi," katanya.
Sementara itu, jurucakap Persatuan Pelajar Malaysia Canterbury ketika dihubungi memaklumkan, setakat ini, pihak mereka tidak dapat memberikan sebarang komen berkaitan perkembangan terkini kesemua mangsa yang terbabit dalam nahas berkenaan.
"Maaf kami terpaksa tolak untuk beri sebarang komen. Pelajar Malaysia di New Zealand yang terbabit (dalam kemalangan) dan yang tak terbabit masih dalam keadaan tidak stabil untuk memberikan apa-apa kenyataan mengenai isu ini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Dalam pada itu, bapa kepada seorang pelajar Malaysia di sana yang dipanggil untuk melakukan proses pengecaman mayat di lokasi kejadian, Mior Syazril turut berkongsi berita sedih terbabit menerusi platform Facebook.
Beliau berkata, anak perempuannya, Iman Izzati adalah seorang daripada empat pelajar yang berada di tempat kejadian.
"Bertalu-talu mesej masuk bertanyakan (mengenai anak saya). Mereka menyangka anak saya terbabit dalam kemalangan itu sedangkan dia antara empat pelajar yang berada di lokasi kejadian untuk tinggal bagi membuat pengecaman jasad.
"Walaupun anak saya tak terbabit dalam kemalangan berkenaan, tapi cukup membuatkan kami amat terkesan. Doakan kesejahteraan anak saya dan rakannya di sana begitu juga keluarga mangsa yang terkorban mahupun tercedera. Sudah pastinya mereka lebih rasa dukacita," katanya.
Mior turut berkongsi tangkap layar dua mesej mengenai kemalangan itu yang tidak dapat dipastikan sumbernya. Dalam hantaran pertama memaklumkan sekurang-kurangnya 16 individu terbabit dalam dua nahas kemalangan berasingan di Lake Tekapo.
Mesej kedua pula makluman mengenai empat pelajar lain yang nama mereka tidak tersenarai sebagai mangsa kemalangan, namun mereka dibawa ke Hospital Christchurch, manakala empat yang lain termasuk Iman Izzati membantu proses pengecaman mayat di lokasi kejadian.
https://www.bharian.com.my/berit ... ealand-urus-jenazah |
|