|
FOTO HIASAN
Taiping: Panik dan bimbang selepas menerima satu waran tangkap, ahli perniagaan bertindak memindahkan sejumlah wang kepada seorang lelaki mendakwa Inspektor Azizi.
Pemindahan itu dilakukan sebanyak tujuh kali ke atas enam akaun berbeza bermula 27 Februari hingga 26 Mac lalu, tanpa menyedari dia sebenarnya ditipu.
Akibatnya, lelaki berusia 36 tahun itu kerugian lebih RM400,000 selepas diperdaya sindiket penipuan dalam talian.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan awal mendapati mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki bergelar Inspektor Azizi ketika berada di sebuah bank pada 27 Februari lalu.
Menurutnya, dalam perbualan itu suspek memaklumkan namanya terbabit dalam kes jenayah dan menghantar satu waran tangkap melalui aplikasi WhatApp.
"Selain itu pengadu turut diarahkan membayar sejumlah wang jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.
"Disebabkan terlalu cemas pengadu membuat tujuh transaksi pindahan wang ke atas enam akaun berbeza berjumlah RM 418,200," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat satu laporan polis dan kes masih disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ipu-inspektor-azizi |
|