|
Anggota bomba mencari dua mangsa dalam kejadian kepala air di sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan. - NSTP/Aizuddin Saad
SERDANG: "Saya sudah beritahu isteri untuk berhenti menjala kerana sudah dapat banyak ikan, namun dia menolak," kata Ahmad Suriady, 40.
Ahmad di antara dua yang terselamat dalam kejadian kepala air melanda sebatang sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana di sini, petang semalam.
Beliau berkata, kejadian itu mengorbankan isteri dan dua anaknya, manakala seorang lagi masih hilang dihanyut arus deras.
Katanya, kejadian itu berlaku amat pantas ketika dia sekeluarga menjala ikan di kawasan berkenaan.
"Kami keluar dari rumah di Pinggiran Putra pada jam 3 petang, lama juga kami menjala dan sudah mendapat banyak ikan.
"Saya ajak isteri untuk pulang, namun dia minta saya menjala lagi sebelum arus deras tiba-tiba datang.
"Saya menjerit meminta mereka semua menyelamatkan diri namun ada antara mereka tergelincir dan hanyut bersama arus," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Anggota bomba meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di berhampiran sebatang anak sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan susulan kejadian lima sekeluarga yang dihanyutkan arus deras pada petang Ahad semalam. - Foto BERNAMA
Ahmad Suriady yang berasal dari Lombok, Indonesia berkata, ini adalah kali pertama dia dan keluarga menjala di kawasan berkenaan.
"Saya tidak sangka ia akan berakhir begini, saya kini sedang berbincang dengan keluarga berhubung proses pengebumian jenazah.
"Saya juga berharap anak bongsu saya yang berusia empat tahun yang masih lagi hilang ditemui dengan selamat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, berkata pihaknya menerima maklumat penemuan mayat wanita sekitar jam 12.17 tengah hari tadi.
Beliau berkata, mayat itu di temui dj Lombong D'Island berhampiran Taman Lacattage, Putra Perdana, kira-kira 10 kilometer daripada lokasi hilang.
"Pada jam 1.20 tengah hari, mayat berkenaan sudah dikeluarkan dari lokasi penemuan. Pencarian anak mangsa (berusia empat tahun) masih diteruskan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... i-belum-mahu-pulang |
|