|
Anggota Bomba dan Penyelamat membawa anjing pengesan K9 dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan kejadian lima sekeluarga yang dihanyutkan arus deras di berhampiran sebatang anak sungai di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, Seri Kembangan pada petang semalam. - Foto BERNAMA
SERI KEMBANGAN: Mayat wanita yang juga mangsa kedua kejadian kepala air di Jalan KP 4/9 Kota Perdana, dekat Seri Kembangan, di sini, petang semalam, ditemui jam 12.17 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner AA Anbalagan, berkata mayat wanita yang dikenali sebagai Juliana, 38, ditemui di Lombong D'Island berhampiran Taman Lacattage, Putra Perdana dianggarkan 10 kilometer daripada lokasi kejadian.
"Pada jam 1.20 petang pihak penyelamat menaikkan mayat berkenaan dan disahkan meninggal dunia.
"Bagaimanapun anggota penyelamat masih melakukan pencarian anak mangsa (berusia empat tahun)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, arus deras yang datang tiba-tiba dari 'monsoon drain' atau saliran longkang monsun menyebabkan warga Indonesia, Ahmad Suriadi bersama isteri dan tiga anak mereka berusia antara empat hingga 10 tahun tergelincir sebelum terjatuh dan dihanyutkan ke dalam sungai di Kota Perdana.
Ahmad Suriadi yang terselamat menghubungi talian MERS999 untuk meminta bantuan, namun seorang daripada tiga anaknya dikenali Mohd Alif yang berusia sembilan tahun ditemui selamat oleh orang awam jam 5.30 petang.
Pada jam 7 malam, mayat seorang lagi mangsa iaitu Mohd Diham, 10, ditemukan pada jarak kira-kira satu kilometer dari lokasi mereka terjatuh sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, Anbalagan menegaskan, lokasi terbabit bukanlah tempat untuk memancing, namun ada individu yang datang ke kawasan itu menangkap ikan untuk dijual.
https://www.bharian.com.my/berit ... ari-lokasi-kejadian |
|