|
Gambar hiasan
PUTRAJAYA- Kerajaan dalam proses menangani isu harga makanan mahal yang dilaporkan di Langkawi, Kedah berbanding di Phuket, Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disentuh rakan sejawatannya dari Thailand iaitu Srettha Thavisin yang membandingkan harga makanan di dua pulau peranginan itu ketika pertemuan kedua-dua pemimpin tersebut sebelum ini.
“Dalam perbincangan saya dengan pimpinan Thailand,(Srettha Thavisin), dia bandingkan Phuket dengan Langkawi.
“Dia tanya saya, dia tahu dan ambil fakta (yang) beras, tepung, gula, minyak mentah, minyak (masak) kita lebih murah tetapi harga di Phuket lebih murah dan di Langkawi lebih mahal.
“Jadi, dia tanya saya apa rasionalnya (harga mahal), jadi saya jawab mungkin sewanya ataupun keuntungan oleh syarikat. Tapi masalah-masalah ini akan kita tangani dengan baik,” katanya di sini tadi.
Anwar ketika pertemuan dengan Srettha di Phuket pada 26 Disember tahun lalu berkata, Thailand bersedia mempromosikan secara bersama pelancongan di Phuket serta Langkawi dan kawasan lain di utara Semenanjung Malaysia.
Dalam pertemuan tersebut, mereka juga sempat menyentuh beberapa perkara penting termasuk soal pelancongan Malaysia-Thailand, susulan peningkatan mendadak pelancong Malaysia ke negara jiran itu. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... -berbanding-phuket/ |
|