|
Selain persaingan, harga mercun dan bunga api yang dijual lebih tinggi antara faktor jualan peniaga merosot.
PETALING JAYA – Bisnes menjual mercun dan bunga api yang sebelum ini memberi keuntungan lumayan kini tidak lagi apabila rata-rata peniaga mendakwa pendapatan mereka menyusut setiap hari.
Menerusi tinjauan Kosmo! di beberapa kampung di sekitar Klang di sini mendapati, para peniaga mercun dan bunga api semakin ramai dan rata-ratanya menjalankan perniagaan di tepi-tepi jalan dengan hanya berbekalkan meja kecil.
Bagaimanapun, akibat persaingan yang terlalu ramai, ada dalam kalangan peniaga mercun gagal meraih pendapatan yang sepatutnya malah ada antaranya tidak pulang modal seperti tahun-tahun sebelum ini.
Seorang peniaga dikenali Samad mendakwa, kebanjiran peniaga mercun dan bunga api ketika ini menyebabkan golongan penjual terpaksa bersaing lebih ‘keras’ untuk mendapat pelanggan.
“Sekarang ini ramai dah yang berniaga mercun ini, kalau tengok kat sini ibaratnya belah kiri, kanan, depan, belakang, ada saja orang jual mercun lagi-lagi nak raya.
“Orang ramai banyak pilihan, boleh runding harga sebab terlalu ramai peniaga, barang ini pula paling laku ketika bulan Ramadan atau Hari Raya Aidilfitri kerana selepas itu tiada siapa yang nak main pula,” dakwanya.
Golongan peniaga mengeluh apabila keuntungan jualan bunga api dan mercun merosot tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. – Gambar hiasan
Seorang lagi peniaga yang mahu dipanggil Y mendakwa, dia hanya menjalankan perniagaan menjual mercun secara sambilan, namun mengakui keuntungan jualan tidak memberangsangkan.
“Untung harian tidak seperti tahun lepas, mungkin juga disebabkan orang ramai mula berkira untuk membeli tidak seperti sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga lain yang mahu dikenali Zack mendakwa, dia mampu meraih keuntungan sebanyak RM6,000 sepanjang tahun lalu, namun situasi ketika ini menyebabkan pendapatannya berkurangan.
“Dahulu boleh cecah RM6,000, tetapi kini separuh pun mungkin susah,” ujarnya.
Jelasnya, selain persaingan, harga jualan mercun yang lebih tinggi tahun ini turut menjadi faktor berlaku pengurangan pembelian dalam kalangan pengguna.
Menurut Zack, harga bagi bunga api yang bersesuaian untuk kanak-kanak dijual pada anggaran RM5 sehingga RM30, manakala bagi remaja dan dewasa adalah dalam julat RM40 sehingga RM800.
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... -kanan-ada-pesaing/ |
|