View: 13930|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
17 pegawai JPJ Negeri Sembilan menyamar penumpang bas ekspres
[Copy link]
|
|
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf (dua dari kanan) pada majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri di Seremban. - Foto ihsan JPJ.
SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menugaskan 17 pegawai menyamar penumpang bas ekspres bagi perjalanan ke seluruh negara sepanjang Op Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam sempena Aidilfitri sehingga Sabtu minggu depan.
Gerakan bermula 1 April lalu itu bertujuan mengesan pemandu bas ekspres yang mengabaikan keselamatan penumpang dan melanggar peraturan ditetapkan.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf, berkata 17 pegawai itu menyamar sebagai penumpang bagi perjalanan ke seluruh negara untuk mengambil tindakan terhadap pemandu bas ekspres yang mengabaikan keselamatan penumpang.
"Kita dapati masih ada lagi pemandu bas ekspres melanggar peraturan, antaranya memandu di lorong kecemasan, memandu di lorong kanan secara berterusan, tiada pemandu kedua dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu," katanya.
Sementara itu, Hanif berkata, seramai 234 cuti pegawai dan anggotanya dibekukan sempena musim perayaan kali ini.
Menurutnya, pihaknya akan mempertingkatkan pemantauan terutama di lokasi panas dan strategi penguatkuasaan tanpa sentuh diberi keutamaan kerana cara itu dilihat lebih berkesan.
"Kita aktifkan penguatkuasaan sebegini dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan jalan raya dan tumpuan kepada penggunaan dron. Selain itu, Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) telah dilengkapi dengan Enforcement Action Camera (EAC)," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengguna lebuh raya supaya lebih peka dengan pengaktifan laluan SmartLane pada musim perayaan ini bagi mengelakkan kekeliruan hingga boleh menyebabkan kemalangan.
Katanya, pengguna boleh mendapatkan maklumat di laman web syarikat konsesi lebuh raya berkait pengaktifan SmartLane yang turut dimaklumkan melalui papan tanda di lebuh raya.
"Apa yang penting pengguna perlu berwaspada. Laluan SmartLane hanya dibenarkan pada waktu siang kerana jika malam, dibimbangi pengguna terkeliru," katanya.
Di Negeri Sembilan, terdapat dua laluan SmartLane iaitu di Kilometer (Km) 280 arah selatan (Nilai) - Km 276 arah selatan (R&R Seremban) dan Km 260 arah utara (Port Dickson) - Km 263.1 arah utara (Seremban).
https://www.bharian.com.my/berit ... numpang-bas-ekspres |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|