|
Anggota Bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Segamat dan Bandar Baru Segamat melakukan pencarian lelaki hilang di Sungai Kampung Balai Badang, Segamat. FOTO AHMAD ISMAIL
Segamat: Lelaki warga emas yang dikhuatiri lemas di Sungai Palong, Kampung Balai Badang, Buloh Kasap, di sini, semalam dipercayai keluar semula ke sungai untuk mengalihkan botnya selepas pulang ke rumah.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan lelaki berusia 66 tahun itu kira-kira 4 petang semalam.
"Penduduk memaklumkan kepada pihak polis kira-kira 9 pagi (semalam) bahawa mangsa keluar ke sungai untuk mengalih bot.
"Malangnya, dia tidak pulang ke rumah sehingga makluman dibuat dan dikhuatiri hilang di Sungai Palong.
"Siasatan awal mendapati mangsa keluar dari rumah untuk memancing di tebing Sungai Palong yang hanya jarak 100 meter dari rumahnya," katanya ketika ditemui, hari ini.
Ahmad Zamry berkata, mangsa dikatakan pulang ke rumahnya dengan membawa hasil memancing kira-kira 9.30 pagi semalam.
Menurutnya, mangsa kemudian keluar semula untuk mengalihkan bot miliknya kerana bimbang dibawa arus akibat paras air sungai naik ekoran hujan lebat pada sebelah malam.
Katanya, isteri mangsa meminta bantuan penduduk untuk mencarinya apabila lelaki itu masih belum pulang sehingga 12.30 tengah hari.
"Pada 3.30 petang, penduduk menjumpai bot milik mangsa yang tersangkut di kawasan semak di tebing sungai pada jarak 250 meter dari lokasi kebiasaan bot mangsa ditambat.
"Ketua Kampung Balai Badang terus menghubungi pihak polis memaklumkan kejadian sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan, semalam," katanya.
Katanya, ketika ini operasi SAR masih dijalankan bagi mengesan mangsa.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ngai-untuk-alih-bot |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|