|
AMINUL Izmeer menunjukkan kokain yang dirampas, Rabu lalu. FOTO Mary Victoria Dass.
Johor Bahru: Taktik sindiket dadah antarabangsa menyeludup 51 kilogram (kg) kokain bernilai RM10.3 juta dalam kontena berisi bawang digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Rabu lalu.
Pengarahnya, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata, kontena itu disita sepasukan pegawai JKDM cawangan narkotik di ruang punggah di Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah di sini, pada 2.45 petang hasil risikan.
Beliau berkata, barangan dalam kontena itu diikrar sebagai 2,900 bungkusan bawang segar.
Menurutnya, pemeriksaan menemui 50 bungkusan plastik mengandungi serbuk berwarna putih yang disembunyikan di ruangan kompresor penghawa dingin kontena.
"Pengesahan awal mendapati ia adalah kokain. Ia dipercayai dibawa masuk dari China dan disembunyikan di ruangan kompresor berkenaan.
"Anggaran dadah yang disita bernilai RM10.3 juta dan ia adalah rampasan terbesar JKDM setakat ini," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Aminul Izmeer berkata, destinasi akhir kontena itu adalah di sebuah syarikat di Kuching, Sarawak.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39(1)(a) Akta Dadah Berbayar 1952.
Dalam kes berasingan, Aminul Izmeer berkata, JKDM merampas daging sejak beku dipercayai khinzir, daging lembu dan dada serta kepak ayam bernilai RM2.1 juta, pada 21 Mei lalu.
Beliau berkata, rampasan dilakukan hasil pemeriksaan terhadap lima lori di Lebuhraya Pasir Gudang dan cawangan import, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.
Menurutnya, lima lelaki warga tempatan iaitu pemandu lori kesemuanya berusia 40-an ditahan bagi siasatan lanjut, sebelum dilepaskan dengan wang jaminan bernilai RM10,000 bagi setiap tangkapan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(E) Akta Kastam 1967," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... alam-kontena-bawang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|