|
BARISAN pemain KL Rovers raih tiga mata penuh yang pertama. FOTO KL ROVERS
Kuala Lumpur: Jaringan awal yang diperoleh dalam perlawanan pertama sehingga membawa kemenangan kepada Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) ternyata amat bermakna dan ia memberi motivasi lebih tinggi buat mereka menghadapi perlawanan kedua saingan Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank 2024/2025.
Ketua jurulatih KL Rovers, Wan Mustaffa Wan Ismail berkata, dalam perlawanan menentang Armed Forces FC malam tadi, ramai pemainnya mengalami kecederaan selain terpaksa bermain 10 pemain dan perlu menukar taktikal agar dapat mempertahankan kelebihan jaringan 1-0 hasil jaringan Fakhrul Aiman pada minit ke-8.
Jelasnya, beliau menyedari risiko bermain secara bertahan amat tinggi di separuh masa kedua namun ia perlu dilakukan kerana mereka mengalami beberapa masalah dalam perlawanan itu.
"Saya bersyukur kita bermula dengan langkah kanan dan bermula dengan tiga mata pertama. Maksud saya, itu satu permulaan yang sangat baik. Jadi, saya ucapkan tahniah kepada pemain saya.
"Mereka telah bermain mengikut arahan terutamanya pada separuh masa pertama. Bila kita memberi tekanan yang sangat tinggi dengan intensiti tinggi kepada pemain lawan, kita akhirnya dapat menjaringkan satu gol.
"Separuh masa kedua, kita lebih bertahan pada saat terakhir. Kerana kita telah kehilangan satu pemain dan ada beberapa pemain cedera. Jadi, pilihan terbaik ialah memasukkan pemain pertahanan serta fokus pada bertahan.
"Jadi, bila kita bertahan, kita memang berada dalam satu tekanan tapi pemain saya bermain dengan baik untuk memastikan tiga mata milik kita," katanya.
Sementara itu, untuk perlawanan kedua menentang UiTM United 8 Jun ini, Wan Mustaffa sedar anak buahnya bakal menerima satu lagi tentangan sengit dari pasukan lawan.
"Pasukan UiTM United adalah pasukan lama saya dan banyak pemain itu adalah pemain saya. Saya dengar mereka ada pemain baru. Jadi, pada saya, tahun ini bukan sahaja UiTM United, semua pasukan-pasukan lain yang kami akan temui adalah pasukan yang sama kuat dan sama kelebihannya. Jadi, kita perlu lebih berhati-hati," kata Wan Mustaffa.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -semangat-kl-rovers |
|