|
Haqimi janji beri aksi terbaik sekiranya diturunkan menentang Kyrgyzstan Khamis ini.
KUALA LUMPUR: Penyerang muda negara, Haqimi Azim Rosli bersedia sekiranya diberi peranan besar bermain di posisi 'nombor 9' Harimau Malaya berdepan Kyrgyzstan, Khamis ini.
Skuad kendalian Kim Pan Gon wajib menang aksi kelima Kumpulan D itu bagi mencerahkan peluang melangkah ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket automatik Piala Asia 2027.
Namun, Harimau Malaya akan bertandang ke Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek tanpa beberapa penyerang senior termasuk Darren Lok, Syafiq Ahmad dan pemain naturalisasi, Romel Morales kerana masalah kecederaan.
Justeru, Pan Gon perlu bergantung kepada pemain sedia ada seperti Paulo Josue, Haqimi dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob untuk menggalas tanggungjawab besar di posisi serangan.
Haqimi menjelaskan, dia banyak diberikan peranan sebagai pemain 'nombor 7' dan 'nombor 9' oleh Pan Gon sepanjang kem latihan pusat skuad kebangsaan yang bermula 27 Mei lalu.
Tonggak Kuala Lumpur (KL) City itu bagaimanapun menyifatkan bahawa dia masih perlu bekerja keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya berdepan Kyrgyztsan dan Taiwan.
"Sekiranya diberi peluang saya akan buat yang terbaik, tapi sekarang kita ada Paulo (Josue) dan ramai juga boleh bermain posisi nombor 9.
"Siapa yang diletakkan untuk perlawanan (menentang Kyrgyzstan) nanti buat yang terbaik. Jika saya diletakkan sebagai nombor 9, saya akan berikan 100 peratus untuk tunjukkan kepada rakyat Malaysia yang saya boleh bermain di posisi itu.
"Tanggungjawab itu besar sebab saya juga sudah lama tidak beraksi bersama pasukan senior Harimau Malaya. Ia akan beri saya pengalaman dan saya kena banyak belajar," katanya.
Skuad negara berlepas ke Kyrgyzstan, pagi tadi dan selepas aksi itu, anak buah Pan Gon akan menanti kunjungan Taiwan dalam aksi terakhir Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 11 Jun ini.
Harimau Malaya berdepan krisis kecederaan pemain bagi menghadapi dua aksi itu apabila turut kehilangan bintang sensasi, Arif Aiman Hanapi dan penjaga gol utama, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed selain Faisal Halim yang masih menjalani rawatan selepas menjadi mangsa simbah asid, 5 Mei lalu.
Untuk rekod, Harimau Malaya yang berada di ranking 138 dunia mengejutkan Kyrgyzstan (ranking 100) 4-3 dalam aksi pertama Kumpulan D, 16 November tahun lalu dan menewaskan Taiwan 1-0 sebelum tewas dua kali kepada Oman, Mac lalu, sekali gus berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul enam mata.
Kyrgyzstan dan Oman menghuni kedudukan dua teratas dengan berkongsi sembilan mata, manakala Taiwan yang tewas semua empat perlawanan sebelum ini berada di tangga tercorot.
https://www.bharian.com.my/sukan ... as-peranan-nombor-9 |
|