|
PALMER meledak gol pembukaan England menerusi sepakan penalti ketika mereka menewaskan Bosnia pada aksi pemanas badan awal pagi semalam. - AFP
NEWCASTLE – Gol pembukaan menerusi sepakan penalti Cole Palmer melonjakkan semangat England ketika mereka mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bosnia pada aksi persahabatan di St. James Park awal pagi semalam.
Selain Palmer yang membuka tirai jaringan pada minit ke-60, dua lagi gol skuad The Three Lions berjaya disumbangkan oleh Trent Alexander-Arnol dan Harry Kane untuk meneruskan momentum terbaik pasukan itu menjelang saingan Euro 2024 di Jerman minggu depan.
Perlawanan itu menyaksikan pengendali England, Gareth Southgate membentuk gandingan antara Palmer dan Eberechi Eze yang berjaya mempamerkan aksi cemerlang, namun pemain terbaik tahun Chelsea itu tetap berdepan kritikan daripada jurulatihnya itu.
Southgate memuji aksi dipamerkan pasangan muda tersebut, namun mendakwa Palmer terlalu berharap untuk mendapatkan bola dan berada pada kedudukan yang sempurna untuk melakukan percubaan ketika dia mendapat beberapa peluang terbaik.
“Kedua-dua mereka bermain dengan bebas. Ebere memiliki kekuatan untuk melepasi beberapa pemain, namun Cole terlalu mengharapkan bola yang sempurna. Jika dia lebih cepat melakukan percubaan, ia mungkin dapat menghasilkan sesuatu.
“Kami berdepan lawan yang cukup baik, mereka cukup mantap di bahagian pertahanan, mempunyai keinginan dan bermain dengan tempo yang bagus. Saya fikir perlawanan ini cukup baik untuk kami sebagai pemanas badan.
“Kami hanya bersabar kerana percaya pada akhirnya kami akan mendapatkan peluang. Keputusan perlawanan kali ini benar-benar menggambarkan persembahan kami,” katanya.
Bagaimanapun, Southgate enggan memberi bayangan mengenai 26 pemain terakhir yang akan dibawa pada kejohanan itu nanti dan akan membuat keputusan terakhir pada Jumaat ini. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/06 ... sih-belum-sempurna/ |
|