|
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon memberi arahan kepada pemain sebelum menjalani latihan menjelang aksi menentang Kyrgyzstan malam esok.
KUALA LUMPUR: Kyrgyzstan tetap menganggap Malaysia lawan sukar meskipun skuad The White Falcons memiliki kelebihan untuk memenangi aksi di Stadium Dolen Omurzakov, Bishke, malam esok.
Aksi itu akan menentukan perjalanan kedua-dua pasukan terutama Harimau Malaya yang wajib menang untuk menghidupkan peluang dalam kempen Piala Dunia 2026 dan meraih slot automatik ke Piala Asia 2027.
Ketua jurulatih Kyrgyzstan, Stefan Tarkovic menganggap aksi itu sukar dengan kedua-dua pasukan berjuang untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
"Kyrgyzstan, Malaysia dan Oman masih berpeluang untuk layak dan ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Fokus utama kami mahu realisasikan impian dan matlamat kami.
"Apa yang penting semua kelebihan kepada kami, tapi kami perlu tunjukkan kualiti dan permainan bola sepak terbaik dalam perlawanan esok.
"Saya tidak kisah perlawanan sebelum ini yang mana aksi esok bermula 0-0 dan kami harus mempamerkan aksi terbaik di atas padang untuk mendapatkan keputusan positif," katanya pada sidang media, hari ini.
Kyrgyzstan memerlukan kemenangan ke atas Malaysia untuk mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 dan layak ke Piala Asia 2027.
Untuk rekod, Kyrgyzstan tewas 3-4 kepada Malaysia dalam aksi sulung Kumpulan D di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 16 November tahun lalu.
Ia menjadi kekalahan tunggal Kyrgyzstan dalam kempen kelayakan kali ini dan selepas itu mereka bangkit merekodkan tiga kemenangan berturut-turut untuk berada di kedudukan teratas kumpulan, berkongsi sembilan mata dengan Oman di tangga kedua.
Malaysia pula di kedudukan ketiga dengan mengumpul enam mata, manakala Taiwan yang tewas semua perlawanan di tangga tercorot.
https://www.bharian.com.my/sukan ... -malaya-lawan-sukar |
|