|
ERIKSEN ledak gol kemenangan Denmark untuk tewaskan Sweden 2-1. -FOTO Reuters
Copenhagen: Christian Eriksen menjaringkan gol kemenangan yang menakjubkan lewat perlawanan untuk memberikan Denmark kemenangan 2-1 ke atas Sweden dalam perlawanan sengit menjelang Euro 2024 di stadium Parken yang penuh sesak, mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama Denmark menjelang kejohanan itu di Jerman.
Ia hanya memerlukan dua minit untuk pasukan tuan rumah memecah kebuntuan hasil kelekaan pertahanan Sweden dengan Eriksen melorongkan bola kepada Pierre-Emile Hojbjerg yang berada berhampiran di tiang melakukan penyudah yang mudah.
Penyokong yang berpakaian merah mengharapkan itu menjadi permulaan serangan namun Sweden tidak menunggu lama untuk membalas serangan itu melalui Alexander Isak, yang mengambil hantaran dari Jens Cajuste dan merembatnya melepasi kawalan penjaga gol Denmark, Frederik Ronnow tujuh minit kemudian.
Eriksen, 32, yang rebah akibat serangan jantung di padang yang sama pada perlawanan pembukaan Denmark ketika Euro 2020 menentang Finland, beraksi cemerlang sepanjang perlawanan mengambil peluang terhidang dengan sepakan lencong minit ke-86 memberikan kemenangan mutlak kepada Denmark.
Jurulatih Sweden dari Denmark, Jon Dahl Tomasson disenaraikan dalam Hall Of Fame bola sepak Denmark sebelum sepak mula dapat bertahan dengan baik namun gagal dari serangan apabila Isak dan Dejan Kulusevski dikawal ketat pertahanan Denmark.
Jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand memberi pujian kepada Tomasson atas usahanya setakat ini bersama Sweden yang gagal melayakkan diri ke Euro di bawah jurulatih terdahulu Janne Andersson, membuka pintu kepada pengendali dari Denmark itu untuk mengambil alih.
"(Mereka bermain) permainan dengan sangat agresif. Saya rasa secara keseluruhan kami memberikan terlalu banyak bola pada separuh pertama dan mereka mendapat peluang yang seharusnya tidak mereka dapatkan," kata Hjulmand.
"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak lagi. Kami perlu melihat peluang yang diperoleh Sweden kerana kami tidak boleh memberi mereka peluang," tambahnya.
Eriksen yang gembira membantu gol pembukaan sebelum menjaringkan gol kemenangan, menerima kritikan atas aksi longlai ketika kelayakan.
"Ia bagus kerana kami menjaringkan gol daripada bola mati, saya fikir ia mencipta sedikit ketenangan dalam pasukan kami," katanya.
Denmark menamatkan persiapan Euro 2024 mereka dengan perlawanan di tempat sendiri menentang Norway Sabtu ini sebelum bertandang ke Jerman, di mana mereka akan menentang Slovenia, England dan Serbia dalam Kumpulan C.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... enmark-atasi-sweden |
|