M Kumar menunjukkan barang rampasan susulan tangkapan enam orang ahli sindiket along yang melakukan kes simbah cat dan khianat dengan api. FOTO Nur Aisyah Mazalan Johor Bahru : Taktik satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen (along) yang menggaji individu bagi melakukan khianat untuk mengugut peminjam wang akhirnya terbongkar selepas enam lelaki ditahan polis, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, sindiket yang aktif di Johor dan beberapa negeri lain sejak April lalu ditahan dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan antara 28 Jun hingga 1 Julai lalu.
"Seramai enam lelaki tempatan berusia 35 hingga 51 tahun ditahan di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang mana hasil siasatan awal mendapati mereka adalah ahli sindiket along yang terbabit dengan kegiatan membaling molotov cocktail dan menyimbah cat ke rumah peminjam wang.
"Seorang ahli akan dibayar RM700 bagi melakukan khianat dengan api (membaling molotov cocktail) dan RM400 untuk menyimbah cat," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Kumar berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah ketua sindiket mengiklankan pekerjaan (melakukan khianat) dalam Facebook dan mereka yang berminat akan berhubung dengan ketua sindiket tanpa bertemu secara bersemuka.
"Sindiket ini menyasarkan rakyat Malaysia yang pernah atau masih bekerja di Singapura dan mereka akan membuat perjanjian sebelum ketua sindiket memberikan alamat kediaman sasaran mereka kepada ahli menerusi telefon bimbit.
"Suspek akan melakukan kerja khianat itu sebelum mengambil gambar atau video sebaik tugasan diselesaikan sebagai bukti bagi membolehkan upah dibayar," katanya.
Menurutnya, beberapa peralatan turut dirampas antaranya enam telefon bimbit, tiga nota ugutan, dua tin cat, botol tinner, topeng muka, tiga kereta dan pelbagai peralatan menulis serta pakaian.
Katanya, dengan tangkapan enam suspek itu, polis percaya sekurang-kurangnya 24 kes khianat dengan api serta simbah cat membabitkan sindiket along itu di Johor, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.
Sementara itu, Kumar berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lima daripada suspek positif methamphetamine.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 29B Akta Pemberi Wang 1951 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Semua suspek kini masih dalam tahanan reman sehingga 14 Julai ini," katanya.
Kumar berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut dan percaya terdapat saki-baki ahli sindiket yang masih bebas dan sedang dikesan termasuk ketua sindiket.
Disiarkan pada: Julai 11, 2024
|