Post Last Edit by amalina at 22-4-2011 13:52
Hafiz (AF7) dan Adira (AF8) Mengaku Bercinta Sejak Lima Bulan Lalu
Oleh WAHIDUZZAMAN ([email protected])
Hafiz (AF7) mendedahkan kisah hubungannya dengan Adira demi untuk memulihkan reputasi kekasihnya yang didakwa mengamalkan hubungan sejenis. - Foto MOHAMAD HASRUL
PETALING JAYA: Juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Mohd Hafiz Mohd Suip atau Hafiz, 21, mendedahkan sedang hangat bercinta dengan penyanyi Adira (AF8) sejak lima bulan lalu.
Hafiz berkata, pendedahan itu bukan untuk mendapatkan publisiti murah sebaliknya bagi menjelaskan tanggapan serong sesetengah pihak sebelum ini yang mendakwa Adira menjalinkan cinta sejenis.
"Saya atau Adira tidak mahu kecoh-kecoh tentang hubungan kami. Malah, ketika Adira 'diserang' gosip yang mendakwanya menjalin hubungan songsang beberapa bulan lalu, kami mengetahui cerita yang sebenar dan masih mampu mengunci mulut.
"Hakikatnya, dia seorang gadis yang baik dan sama sekali tidak seperti yang digembar-gemburkan.
"Saya berharap dengan pengakuan ini dapat membersihkan nama Adira di mata umum agar tiada pihak terus berpandangan serong padanya," katan Hafiz dalam satu pertemuan bersama mStar Online.
Bercerita tentang hubungan yang terjalin secara tersembunyi selama lima bulan itu, Hafiz mengakui sudah lama menaruh hati kepada gadis kelahiran Ranau, Sabah itu.
"Sebenarnya saya sudah menyimpan perasaan pada Adira sejak dia AF8 lagi. Cuma, ketika itu kami mempunyai pasangan masing-masing.
Adira (AF8)
"Kebetulan pula ketika saya sedih selepas putus cinta pada penghujung tahun lalu, Adira muncul memberikan semangat. Lama-kelamaan, keserasian kami itu bertukar menjadi perasaan sayang pula,” katanya.
Sementara itu, Adira yang dihubungi mengakui intim dengan penyanyi lagu Awan Nano itu sejak lima bulan yang lalu.
"Memang saya menjalin hubungan dengan Hafiz sejak lima bulan yang lalu. Malah, hubungan kami diketahui oleh kedua-dua belah keluarga.
"Bagaimanapun, kami tidak mahu menghebohkan hal ini. Saya harap cerita ini tidak diperbesarkan dan semua pihak menghormati ruang privasi saya," katanya.
Apabila ditanya tentang impak dan penerimaan keluarganya terhadap gosip yang mendakwa dia mengamalkan hubungan songsang, Adira berkata: "Sebagai orang baru dalam industri ini, saya terlalu kerdil untuk mempertahankan diri daripada gosip sedemikian.
"Yang penting, keluarga sangat mengenali saya dan mengetahui cerita sebenar. Bagi saya, dengan berdiam diri saja segala fitnah yang dilemparkan itu akan lenyap dengan sendirinya."
Pengakuan eksklusif hubungan mereka ini sekali gus turut menangkis gosip hubungan Adira dengan juara AF8, Shahir.
Terbaru, Adira dan Hafiz dikhabarkan akan berduet untuk lagu tema filem Ombak Rindu arahan Osman Ali yang dijangka ditayangkan hujung tahun ini.
Media Hiburan 16 April 2011
Majalah AKSI 11 April 2011
Hafiz Berpantang Demi Jaga Suara
Pemenang Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke 25, Hafiz, mengakui sekarang ini dia sangat menjaga suaranya kerana ingin menghargai anugerah yang telah diberikan kepadanya. Jelas penyanyi berusia 21 tahun ini, selain tidak mengambil minuman berais, dia juga tidak lagi makan makanan pedas.
“Saya buat semua ini kerana ingin menghargai anugerah yang telah diberikan kepada saya. Bukan mudah untuk mendapat pengiktirafan sebegitu. Jadi, sebagai seorang penyanyi, saya perlu mengucapkan terima kasih dengan cara menjaga suara.
Selain itu, ini juga salah satu cara menghargai peminat yang tidak pernah jemu memberi sokongan. Untuk mempertahankan kejayaan ini bukanlah mudah, sebab itu saya perlukan sokongan pelbagai pihak. Terutama daripada keluarga dan peminat. Selain itu, saya bertawakal kepada Allah,” ulas Hafiz yang ditemui baru-baru ini. Dalam masa yang sama, Hafiz juga memaklumkan yang dia kini sering menghabiskan masa di gim kerana mahu memastikan tubuh badannya berstamina.
“Kalau ada masa terluang, saya akan pergi ke gim untuk bersenam. Alhamdulilah, dalam masa beberapa bulan ini berat badan saya telah berkurangan sebanyak empat kilogram. Badan pun rasa lebih bertenaga. Perubahan ini sangat membantu ketika saya mengadakan persembahan pentas,” ujar Hafiz lagi.
Menyentuh tentang single ketiganya, ‘Awan Nano’ yang kian popular sekarang ini, Hafiz memberitahu dia gembira kerana setiap lagu yang dimuatkan di dalam album pertamanya mendapat sambutan baik di kalangan peminat.
“Memang saya dan pihak pengurusan mahu lagu saya dikenali satu demi satu. Itu adalah strategi kami untuk memastikan semua lagu saya mesra pendengar. Setakat hari ini, nampaknya formula ini berjaya kerana lagu-lagu saya mendapat tempat di stesen-stesen radio tempatan.
‘Awan Nano’ akan masuk senarai pencalonan Muzik-Muzik 26 untuk bulan April nanti. Harap-harap peminat akan mengundi untuk lagu itu. Tahun ini saya hanya akan pertaruhkan lagu ini untuk Anugerah Juara Lagu(AJL). Kalau ada rezeki dan peminat terus memberi sokongan, saya percaya lagu ini boleh pergi jauh.
Secara peribadi, saya sangat menyukai lagu ini. Melodi dan liriknya cukup kuat. Ia mengisahkan pengorbanan ibu bapa yang membesarkan kita. Pada mulanya, saya agak risau tidak boleh membawakan lagu ciptaan M.Nasir ini dengan baik, tetapi mujurlah selepas beberapa kali berlatih, saya dapat menjiwainya. Satu cabaran untuk menyanyikan lagu ini ialah, ia memerlukan nafas yang panjang untuk korus,” ulas Hafiz panjang lebar.
Tahun 2011 ini, Hafiz akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya nyanyian. Menurut anak muda ini, sudah sampai masanya dia menyusun strategi untuk mencipta kejayaan lebih cemerlang.
Sumber : www.gua.com.my The Star 19 Mac 2011
|