Laporan BH Online semalam mengenai kes membabitkan Norasid Md Said.
SEREMBAN: Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPSNS) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, berkait hukuman dianggap jabatan itu sebagai terlalu ringan dijatuhkan ke atas pemuzik jalanan yang mengaku salah mengajar ajaran sesat.
Ketua Pendakwa Syarie JPSNS, Raja Mazelan Raja Deraman, berkata pihaknya bagaimanapun menghormati keputusan mahkamah.
Semalam, Hakim Ruzita Ramli menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 atau tambahan penjara sebulan jika gagal bayar, terhadap Norasid Md Said, 50.
Ia selepas pemuzik jalanan itu mengaku bersalah terhadap tuduhan mengajar ajaran berlawanan hukum syarak berkaitan ajaran Millah Abraham kepada isterinya berusia 51 tahun pada tahun lalu.
Norasid yang didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019 dituduh mengajar ajaran berlawanan hukuman syarak dengan menyatakan bahawa 'selepas kewafatan Nabi Muhammad, akan muncul rasul baharu'.
Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Kesalahan itu dilakukan di Felda Palong 3, Gemas lebih kurang jam 10 hingga 11 malam, antara 1 hingga 30 September 2023.
"Hukuman dijatuhkan dirasakan terlalu ringan, tidak memadai dengan kesalahan dilakukan. Kami juga berpendapat hukuman tegas dan keras perlu bagi membendung kes ajaran sesat yang berleluasa dan tumbuh bagai cendawan, khususnya di Negeri Sembilan," kata Raja Mazelan.
Beliau yang memaklumkan demikian ketika dihubungi hari ini, berkata dalam permohonan rayuan yang akan dibuat nanti, pihaknya berharap mahkamah mempertimbangkan keputusan lebih wajar daripada beberapa sudut tertentu, khususnya kesalahan yang dilakukan.
"Kesalahan dilakukan adalah sangat serius, berat dan membabitkan akidah. Sewajarnya perkara ini diberikan perhatian yang sangat serius oleh mahkamah dan tidak boleh sesekali disamakan dengan kesalahan lain," katanya.
Pada prosiding semalam, tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika memohon hukuman ringan, memaklumkan ada masalah jantung dan darah tinggi serta tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai busker dan pelbagai kerja sampingan.
Menurutnya, dia juga hanya berpendapatan kira-kira RM1,200 sebulan dan perlu menyara tiga anak serta isteri.
Bagi tuduhan menyatakan 'solat itu syirik kerana kita melakukan perbuatan sujud seperti menyembah sesuatu objek', Norasid bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula.
|