Maritim Malaysia menemui mayat lelaki yang hanya berseluar panjang di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya berhampiran Tanjung Tuan.
PORT DICKSON: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengesahkan penemuan mayat terapung di sekitar perairan Port Dickson, di sini, petang semalam.
Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, penemuan mayat itu dimaklumkan oleh pemancing jam 5.10 petang sebelum bot Maritim Malaysia Perkasa 37 dihantar ke lokasi terbabit.
"Anggota kami kemudian menemui mayat lelaki yang hanya berseluar panjang di kedudukan 2.2 batu nautika barat daya berhampiran Tanjung Tuan.
"Mayat tanpa identiti itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi siasatan lanjut," ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730.
|