PEMANDU kereta Honda Civic maut kereta terbabas di bahu jalan dekat Jalan Forest City. FOTO Ihsan JBPM
Iskandar Puteri: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu jalan dalam kemalangan di Jalan Forest City, Gelang Patah, di sini, malam tadi.
Kemalangan berlaku 8.45 malam itu mengakibatkan mangsa dikenali sebagai Colineric Bruitche, 31, beralamat di Bukit Mertajam, Pulau Pinang meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala, tiga penumpang lain mengalami kecederaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Hairul Azwii Esrah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.50 malam.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian didapati sebuah kereta Honda Civic yang terbabas dan terbalik di bahu jalan.
"Seorang mangsa yang berada di dalam kereta dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
"Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca apabila kereta dipandu mangsa dari arah Gelang Patah hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat," katanya.
|