CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 22522|Reply: 0

[Negeri Sembilan] Belum ada tindakan terhadap penempatan warga asing diserbu Imigresen semalam

[Copy link]
Post time 19-7-2024 07:02 AM | Show all posts |Read mode

KEADAAN di hadapan pintu masuk ke rumah kongsi dekat Taman Bandar Senawang, di sini. FOTO Ahmad Hasbi


Seremban: Belum ada apa-apa tindakan terhadap rumah kongsi yang dijadikan penempatan haram pendatang asing tanpa izin (Pati) dekat Taman Bandar Senawang, di sini, yang diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), awal pagi semalam.

Tinjauan di lokasi mendapati, warga asing yang menetap di penempatan terbabit masih menjalankan rutin biasa dengan keluar bekerja dan dapat dilihat mereka keluar masuk.

Pengerusi KRT D'Latania Taman Bandar Senawang, Zanifol Nizam Ahmad berkata, penduduk difahamkan, penempatan berkenaan adalah rumah kongsi pekerja kontrak tapak pembinaan beberapa perumahan di kawasan itu.



"Kami memang tahu ada warga asing yang tinggal di situ. Sebelum ini kami dimaklumkan ia dijadikan rumah kongsi seperti di tapak pembinaan lain yang mana pekerja asing akan tinggal di sana.


"Kami tidak pula tahu jika dijadikan tempat tinggal warga asing yang tidak memiliki dokumen sehingga menjadi penempatan haram," katanya ditemui, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Kennith Tan Ai Kiang berkata, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti status tanah penempatan berkenaan.

Katanya, kertas siasatan sudah dibuka dan akan melihat daripada pelbagai sudut termasuk mengambil keterangan warga asing yang ditahan pada serbuan itu.

"Pegawai penyiasat akan mula mengambil keterangan daripada warga asing yang ditahan hari ini. Daripada situ, kami akan tahu sebenarnya berapa lama lokasi penempatan itu sudah wujud," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, orang ramai dan majikan diingatkan tidak melindungi warga asing atau mengambil pekerja asing tanpa permit sah.

"Kami akan terus melakukan operasi penguatkuasaan termasuk memantau lokasi penempatan haram seumpama itu di negeri ini. Mereka yang melindungi warga asing berdepan tindakan undang-undang," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan, selain dikelilingi hutan tebal, kawasan penempatan warga asing terbabit turut dipagari zink dengan papan tanda dilarang masuk.

Difahamkan, penempatan seluas 2,700 meter persegi itu dipercayai sudah wujud kira-kira 15 tahun lalu berdasarkan rekod pernah diserbu JIM pada 2009.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 04:26 PM GMT+8 , Processed in 0.078276 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list