Keadaan van sekolah yang terbabit kemalangan yang menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia di Jalan Masai Kong-Kong, pagi tadi. -Foto media sosial
PASIR GUDANG: Dua individu maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan van sekolah di Jalan Masai Kong-kong di sini pada jam 6.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, dua individu yang maut adalah penunggang dan pembonceng motosikal, kedua-dua dipercayai rakan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati, van sekolah berkenaan dipandu seorang wanita tempatan berusia 47 tahun dari arah Kong-kong ke Masai.
"Semasa kejadian, sebuah motorsikal telah masuk ke laluan van berkenaan dan berlaku pelanggaran secara berhadapan.
"Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng masing-masing berumur 26 tahun dan 30 tahun mengalami kecederaan parah di kepala. Kedua-dua mangsa lelaki dan perempuan itu meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mohd Sohaimi berkata, motosikal berkenaan tidak melawan arus sebagaimana dakwaan tular.
Katanya, kedua mangsa yang maut juga memakai topi keledar keselamatan ketika kejadian berlaku.
"Waris kedua-dua mangsa penunggang dan pembonceng motorsikal telah membuat pengesahan terhadap mangsa.
"Kes disiasat mengikut Seskyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya.
|