IOC jangka temasya Paris 2024 paling menakjubkan
www.bharian.com
Julai 23, 2024 @ 10:43am
Kain rentang dipasang di jalanan sekitar Seine-Saint-Denis, Paris menjelang upacara pembukaan temasya Sukan Olimpik Paris 2024. – Foto REUTERS
PARIS: Sukan Olimpik Paris 2024 akan menjadi acara yang menakjubkan ketika berdepan gangguan global dan kuasa perpecahan yang semakin meningkat, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach semalam, empat hari sebelum upacara pembukaan temasya itu.
Sukan Olimpik di ibu negara Perancis akan menyaksikan beberapa catatan kali pertama, dengan upacara pembukaan secara terbuka di sepanjang Sungai Seine dan bukannya upacara tradisi di stadium Olimpik.
Temasya itu juga akan menggabungkan mercu tanda utama bandar, termasuk Menara Eiffel ke dalam pertandingan selain acara luncur air diadakan di Tahiti, 15,000 kilometer dari gelanggang utama.
Ia juga akan menjadi Olimpik pertama mempunyai persamaan jantina dengan jumlah atlet lelaki dan wanita yang sama.
Presiden IOC, Thomas Bach memberikan ucapan ketika merasmikan pembukaan Sesi IOC ke-142 di Yayasan Louis-Vuitton di Paris semalam. – Foto AFP
"Seperti berbilion-bilion orang di seluruh dunia, kami tidak sabar menunggu temasya terbaharu, paling inklusif, paling bandar dan paling mampan," kata Bach pada pembukaan sesi mesyuarat pertubuhannya di ibu negara Perancis itu.
"Kami yakin bersama-sama dengan seluruh dunia kami akan mengharungi Sukan Olimpik yang menakjubkan," katanya, dengan kehadiran Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Lebih 10,500 atlet yang mewakili 206 jawatankuasa Olimpik kebangsaan akan bertanding dalam pelbagai jenis sukan selama 16 hari, 100 tahun sejak kali terakhir ibu negara Perancis itu menganjurkannya, dengan lebih 30,000 pegawai keselamatan bertugas. – REUTERS
|