Pihak berkuasa rampas 500 sate anjing
Gambar fail menunjukkan 56 kilogram daging anjing mentah yang dirampas di daerah Jembrana. - Voi.id
JAKARTA – Pihak berkuasa tempatan merampas kira-kira 500 cucuk sate anjing dan 56 kilogram daging anjing mentah yang dijual di pulau peranginan Bali, lapor saluran berita Channel News Asia semalam.
Rampasan dilakukan selepas kawasan tumpuan pelancong itu mengharamkan perdagangan daging anjing pada tahun lalu.
Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga 50 juta rupiah (RM14,289).
Ketua Agensi Ketenteraman Awam Bali, Dewa Nyoman Rai Dharmadi berkata, pemeriksaan pada minggu ini berjaya menemukan tiga penjual yang masih giat menjalankan aktiviti haram itu.
“Mereka merampas 500 sate daging anjing daripada seorang penjual di daerah Jembrana, manakala 56 kilogram daging anjing mentah dirampas daripada penjual lain di daerah sama,” katanya.
Seorang penjual sate anjing dilepaskan dengan amaran, manakala dua lagi penjual disifatkan sebagai pesalah berulang dan didakwa melakukan kesalahan jenayah ringan.
“Kami tidak akan mengambil tindakan undang-undang secara tiba-tiba tetapi kami memberi mereka peluang untuk mengetahui tentang kewujudan larangan ini dan mengapa ia dikuatkuasakan.
“Namun, kami akan mendakwa pesalah berulang (penjual). Kami tidak main-main,” kata Dewa.
Kedua-dua penjual itu akan dihadapkan mahkamah pada bulan depan. – AGENSI
|