Mohamad Shahrul Ezwan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini. - NSTP/LUQMAN HAKIM ZUBIR
KUANTAN: Lelaki yang mencuri sebuah Honda City dari stesen minyak di Semambu, dekat sini, pada 3 Jun lalu dalam kejadian yang turut tular di media sosial, dijatuhkan hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.
Mohamad Shahrul Ezwan Nordin, 40, yang ketika ini sedang menjalani hukuman di Penjara Bentong untuk kesalahan lain, dikenakan hukuman terbaharu itu itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Tengku Eliana Tengku Kamarulzaman.
Bapa enam anak terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, mencuri sebuah Honda City milik Norhalina Mohamed di sebuah stesen minyak di Semambu, sekitar jam 3.10 petang, 3 Jun lalu .
Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh diwakili Nur Hafidza Baharudin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang dalam rayuan hukuman ringan, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sudah bertaubat dan tidak akan mengulangi perbuatan itu.
Timbalan Pendakwa Raya Ezuain Farhana Ahmad bagaimanapun meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang dapat memberi pengajaran kepada tertuduh.
Tengku Eliana juga menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas Shahrul Ezwan mengaku bersalah mencuri sebuah telefon bimbit milik seorang wanita di kedai runcit di Kuala Penor, sekitar jam 6 petang 3 Jun.
Bagi tuduhan itu, Mohamad Shahrul Ezwan diwakili peguam, Nurul Syafiqa Syeba Atan, juga dari YBGK, didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Di mahkamah berasingan, lelaki itu didakwa memiliki sebuah motosikal Honda EX5 yang dicuri dengan nombor pendaftaran palsu milik Muhammad Tarmizi Abdullah di sebuah stesen minyak, sekitar jam 3.30 petang pada tarikh sama.
Dia yang didakwa mengikut Seksyen 411 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, turut mengaku bersalah di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat yang menetapkan 31 Julai untuk hukuman.
Terdahulu pada 14 Jun lalu, Mahkamah Majistret Raub menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara terhadap Mohamad Shahrul Ezwan selepas dia mengaku bersalah menceroboh masuk sebuah rumah milik seorang wanita berusia 34 tahun di Bentong pada 4 Jun.
Rakaman video aksi jenayah lelaki berkenaan tular selepas dia dilapor menunggang motosikal curi ke sebuah stesen minyak sebelum masuk ke dalam kereta Honda City yang berhenti, tetapi berjaya ditangkap di Bentong sehari selepas kejadian.