|
Terdapat banyak perubahan perlu dilalui apabila baharu menjadi ibu atau bapa tunggal selepas berpisah dengan pasangan.
Contohnya mempelajari cara bagaimana menjadi ibu atau bapa tunggal atau bekerjasama dalam memainkan peranan sebagai ibu bapa kepada anak-anak selepas bercerai.
Pastinya pada awal perceraian akan mencetuskan emosi yang pelbagai seperti marah, sedih, kecewa, terkejut, menyesal, bersalah dan malu.
Dari aspek lain, mungkin berasa lega dan teruja untuk menjalani kehidupan baharu sebagai ibu atau bapa tunggal.
Segelintir ibu atau bapa tunggal yang baharu memegang gelaran itu berasa bebas kerana dapat melepaskan diri daripada konflik perkahwinan.
Selain itu, tempoh ini boleh menjadi ruang untuk menghargai diri sendiri dan mencari arah baharu kehidupan.
Tip baharu menjadi ibu atau bapa tunggal:
1-Mendapatkan sokongan
Keluarga dan rakan boleh menjadi 'talian hayat' untuk mereka mendapatkan bantuan sokongan moral.
Jika tidak, dapatkan mencari sokongan daripada jiran atau kumpulan sokongan ibu atau bapa tunggal.
Bagaimanapun, jika memerlukan sokongan tambahan, boleh berjumpa dengan doktor atau pakar psikologi untuk mendapatkan kaunseling.
2-Mengambil masa untuk menyesuaikan diri
Sememangnya mengambil masa untuk membiasakan diri dengan perubahan besar yang terjadi dalam kehidupan.
Walau apa pun keadaannya, perasaan kehilangan mungkin sebahagian daripada pengalaman kehidupan.
Biarkan masa yang akan membantu dalam proses merawat 'kesakitan' kehilangan dan menyembuhkan kekecewaan.
3-Ingat bahawa anda mempunyai pilihan
Meskipun tidak boleh mengubah situasi, tetapi mungkin dapat mengubah cara bertindak balas terhadap masalah yang sedang dihadapi.
Contohnya, memilih untuk berkelakuan tenang, konsisten, menghormati dan selamat tanpa mempedulikan kelakuan anak daripada ibu atau bapa berlainan.
Selain itu memberi keutamaan menjaga diri untuk kekal sihat dan kelilingi diri dengan individu yang positif serta memberi sokongan.
4-Berbuat baik kepada diri sendiri
Selalunya sangat mudah seseorang menyalahkan diri apabila perkara yang dirancang tidak berjaya mengikut perancangan.
Sebaliknya cuba belajar bersikap baik dan belas ihsan terhadap diri sendiri. Ini langkah yang baik untuk anda serta anak-anak.
Belas ihsan terhadap diri sendiri akan meningkatkan kesihatan mental dan kesejahteraan anda.
Selain itu dapat memberikan lebih banyak perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak untuk kehidupan yang berkualiti.
5-Fokus pada kekuatan diri
Anda akan berasa lebih yakin dan berdaya tahan sekiranya mengenali kekuatan diri, mengetahui bagaimana menghadapi cabaran pada masa lalu dan menetapkan matlamat.
Contohnya, anda mungkin pandai mengendalikan anak yang bermasalah seperti meragam dan mengetahui masa sesuai meminta sokongan.
Ini menjadikan kehidupan sebagai ibu atau bapa tunggal lebih mudah walaupun ada dugaan terpaksa dihadapinya.
6-Berfikir positif mengenai masa depan
Benarkan diri anda 'bermimpi' perkara yang indah mengenai masa hadapan.
Tetapkan matlamat baharu untuk diri sendiri dan anak-anak serta berusaha mencapainya, walaupun mengambil masa merealisasikannya.
Ini mendorong diri anda menjadi lebih bersemangat dalam menjalani kehidupan dan berusaha untuk mencapai matlamat berkenaan.
Sumber – Harian Metro |
|