Edited by maklukpenggoda at 18-11-2024 04:12 AM
NILAI - Rata-rata peniaga di Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini mendakwa premis perniagaan mereka lengang sehingga menjejaskan pendapatan sebanyak 50 peratus.
Pusat perniagaan yang pernah menjadi tumpuan ramai sebelum 2019 itu dilihat seolah-olah sebuah pekan mati.
Suasananya tidak ubah seperti ketika negara dilanda Covid-19 sekitar lima tahun lalu.
Peniaga karpet, Ghani Rahman, 24, berkata, kebanyakan pelanggan hanya datang pada hujung minggu ataupun cuti umum khususnya pada hari perayaan.
“Dahulu hari bekerja pun ramai orang sekarang boleh bilang dengan jari. Hari minggu pun lebih kurang sama, tidak ramai pelanggan.
“Hari-hari kami buat promosi malah ada masanya hanya untuk dapatkan pulangan modal semata-mata,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Pembantu kedai, Ashpaq Qalisya, 26, berkata, ramai mengesyorkan supaya mereka membuat jualan dalam talian menggunakan pelbagai aplikasi media sosial sedia ada.
Bagaimanapun katanya, jualan cara tersebut juga tidak memberangsangkan.
“Kita sudah bagi harga murah tetapi pelanggan masih mahu tawar harga lagi murah. Runsing kami dibuatnya.
“Kalau sebelum Covid-19 pendapatan kami boleh cecah RM15,000 hingga RM18,000 sebulan sekarang lebih kurang RM8,000 sahaja,” katanya.
“Kalau hasil jualan kurang mungkin saya terpaksa mencari kerja lain,” katanya.
Dalam pada itu, pembantu kedai hiasan rumah, Jawad Khan, 20 berkata, pendapatnya mengenai situasi perniagaan di Nilai 3 itu sama seperti peniaga lain walaupun baru sahaja dua tahun bekerja di sana.
“Saya hanya berharap ekonomi rakyat negara ini semakin baik sebab saya pun menumpang mencari rezeki di sini.
Sementara itu, tinjauan Sinar Ahad di lokasi jelas menunjukkan terdapat peniaga yang sanggup menjual produk mereka dari satu kereta ke kereta lain di kawasan parkir bagi mendapatkan pelanggan.
Sinar Harian
|