|
Meta mohon maaf turunkan hantaran Anwar berkait Ismail Haniyeh
https://www.freemalaysiatoday.co ... ait-ismail-haniyeh/
FMT Reporters
06 Aug 2024, 10:14 AM
Syarikat induk Facebook dan Instagram, Meta, menurunkan beberapa hantaran media sosial Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkait pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh. (Gambar Facebook)
Kandungan dibuat perdana menteri itu telah dikembalikan dengan label ‘bersesuaian berita’.
PETALING JAYA: Meta memohon maaf di atas tindakan menurunkan kandungan akaun Facebook dan Instagram Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkait pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, minggu lalu.
Kandungan itu dikembalikan dengan ‘label berita sebenar yang bersesuaian’, kata jurucakap Meta kepada Reuters, dalam maklum balas emel.
Semalam, kerajaan menuntut permohonan maaf daripada Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, kerana menurunkan beberapa hantaran media sosial Anwar berkait Ismail.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, tuntutan itu dibuat ketika Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Salim Fateh Din, bertemu dengan wakil Meta, semalam.
Dalam kenyataan, PMO turut menuntut penjelasan terperinci atas tindakan Meta.
Hantaran diturunkan Meta termasuk melibatkan kenyataan takziah Anwar kepada pemergian Ismail, selepas pemimpin Palestin itu terbunuh di Tehran, Iran, pada 31 Julai.
Bulan lalu, Meta turut memohon maaf di atas kesalahan penterjemahan automatik melibatkan hantaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), berkait pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pengarah Dasar Awam Meta di Asia Tenggara, Rafael Frankel, berkata syarikat itu dimaklumkan tentang kesilapan dalam terjemahan automatik daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris.
Meta turut memohon maaf atas kesilapan terjemahan automatik daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris catatan Facebook berkaitan hari keputeraan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
|
|