View: 4562|Reply: 0
|
Henry bawa Perancis ke final bola sepak lelaki Olimpik Paris 2024
[Copy link]
|
|
Edited by Vellfire at 8-8-2024 01:21 AM
Penyerang Perancis, Philippe Mateta meraikan gol jaringannya bersama Henry pada perlawanan separuh akhir di antara Perancis dan Mesir di Stadium Lyon. — Gambar AFPLYON:
Thierry Henry memenangi hampir segala-galanya dalam karier gemilang sebagai pemain dan kini ‘hidup dalam mimpi’ sebagai jurulatih selepas membawa pasukan tuan rumah Perancis ke final bola sepak lelaki Olimpik.
Perancis berhasrat untuk memenangi emas buat kali kedua, 40 tahun selepas kejayaan mereka di Los Angeles, dan akan menentang Sepanyol di final selepas mengelak kekalahan mengejut menentang Mesir minggu ini.
Pasukan Henry ketinggalan 0-1 pada separuh akhir di Lyon tetapi bangkit untuk menang 3-1, menerusi Jean-Philippe Mateta yang menyamakan kedudukan untuk memaksa masa tambahan dan kemudian menjaringkan gol sekali lagi pada minit ke-99 sebelum Michael Olise memastikan kemenangan.
“Sejujurnya, saya sangat gembira untuk Pasukan Perancis kerana apabila kami melihat semua orang mengutip pingat di seluruh tempat, kami berkata kepada diri sendiri bahawa kami tidak boleh mengecewakan mereka,” kata Henry.
“Kami tidak mahu menjadi pasukan yang tidak memenangi pingat, jadi sekurang-kurangnya itu sudah terjamin, dan sekarang kita akan lihat pingat apa yang kita akan dapat.
“Tetapi secara jujurnya saya hidup dalam mimpi dan saya tidak mahu bangun.”
Henry, yang memenangi Liga Juara-Juara bersama Barcelona dan kedua-dua Piala Dunia dan Kejohanan Eropah dengan Perancis sebagai pemain, dilantik sebagai jurulatih pasukan Bawah 21 dan Olimpik Perancis kurang setahun yang lalu.
Jurulatih berusia 46 tahun itu kini akan membawa pasukannya dalam perlawanan akhir di Parc des Princes pada 9 Ogos, tempat yang sama di mana Perancis menewaskan Sepanyol dalam perlawanan akhir Kejohanan Eropah 1984 hanya beberapa minggu sebelum kemenangan Olimpik tunggal mereka setakat ini.
“Kamu tahu betapa sukarnya untuk menentang mereka. Mereka sering mara ke peringkat akhir pertandingan, dalam bola sepak lelaki dan wanita,” tambah Henry mengenai pemenang pingat perak Olimpik Tokyo yang menewaskan Maghribi 2-1 pada separuh akhir mereka.
Perancis dijamin mendapat pingat selepas mara ke final walaupun gagal mendapatkan ketua pasukan kebangsaan, Kylian Mbappe dan naib kapten Antoine Griezmann untuk kejohanan Olimpik.
Sebaliknya mereka telah diketuai oleh bekas penyerang Arsenal yang kini bermain di Lyon, Alexandre Lacazette, manakala kapten mereka dalam pusingan kalah mati ialah Mateta.
Dia menjaringkan 16 gol dalam Liga Perdana musim lalu untuk Crystal Palace, termasuk 14 dalam 16 perlawanan terakhirnya.
Kini dia melakar nama sebagai penjaring gol terbanyak Perancis pada temasya ini dengan empat gol, antaranya gol kemenangan dalam perlawanan suku akhir menentang Argentina dan dua golnya menentang Mesir.
“Ia bagai impian untuk berada di final dan saya tidak sabar untuk berada di Paris,” kata Mateta, yang berasal dari pinggir bandar ibu kota Perancis itu.
“Kami telah bercakap tentang Sukan selama satu tahun setengah dan akhirnya kami dapat pergi ke Paris.” — AFP
https://www.utusanborneo.com.my/2024/08/08/henry-bawa-perancis-ke-final-bola-sepak-lelaki-olimpik-paris-2024
|
|
|
|
|
|
|
| |
|