Serangan Israel ke atas sekolah bunuh lebih 100 mangsa
Penduduk Palestin mengelilingi jenazah mereka yang terkorban dalam serangan Israel terhadap sebuah sekolah di mana mereka berlindung, di hospital al-Maamadani, di tengah bandar Gaza. - Foto AFP
KAHERAH: Lebih 100 rakyat Palestin terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan Israel hari ini ke atas sebuah sekolah di Gaza yang digunakan untuk melindungi penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Tentera Israel bagaimanapun berkata, pihaknya menyerang lokasi terbabit kerana ia dikenal pasti sebagai pusat operasi Hamas.
Pejabat Media Gaza berkata, serangan Israel menyasarkan penduduk yang berpindah ketika menunaikan solat Subuh, sekali gus membawa kepada peningkatan besar dalam jumlah korban.
Dalam kenyataannya, tentera berkata tentera udaranya menyerang pusat komando dan kawalan yang berfungsi sebagai tempat persembunyian serta pangkalan komander Hamas.
"Tentera Udara Israel (IAF) dengan tepat menyerang Hamas yang beroperasi dalam pusat perintah dan kawalan di sekolah Al-Taba'een, terletak bersebelahan masjid di Daraj Tuffah, yang berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi penduduk Gaza.
"Sebelum serangan, banyak langkah diambil untuk mengurangkan risiko kecederaan orang awam, termasuk penggunaan peluru tepat, pengawasan udara dan maklumat risikan," tambahnya. - REUTERS
|